Beberapa tahun lalu, pengurus legenda dari Belanda, Louis Van Gaal, menghadirkan kegembiraan buat semua peminat Manchester United selepas 'masalah' dengan mesin faks yang dihadapi menyebabkan perpindahan David De Gea ke Real Madrid gagal dilengkapkan.

Kini, giliran pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, memainkan peranan utama dalam mengekalkan khidmat penjaga gol Sepanyol itu selepas berjaya memujuknya untuk menandatangani kontrak baru selama empat tahun.



Sebelum ini, kontrak penjaga gol yang bakal memasuki usia 29 tahun pada 7 November depan itu menuju pengakhiran, di mana dia bebas untuk melakukan perbincangan dengan mana-mana kelab pada Januari nanti memandangkan perjanjian dengan United akan tamat pada Jun 2020.

Namun, persetujuan yang dicapai semalam menyaksikan bekas bintang muda Atletico Madrid itu akan kekal di Old Trafford sehingga Jun 2023 berserta pilihan lanjutan berbekalkan bayaran bernilai GBP375,000 (RM1.9 juta) seminggu.

Situasi itu menyaksikan tamatnya spekulasi melibatkan De Gea dan gergasi Sepanyol, Real, tatkala Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini turut mengintai peluang untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma.

"Kini, masa depan saya sudah terjamin. Saya komited untuk terus membalas kepercayaan yang diberikan peminat United selepas sokongan yang mereka berikan sewaktu naik dan turun saya di sini," kata De Gea kepada laman web rasmi pasukan.



Sejak hadir ke Old Trafford pada 2011, De Gea telah melakukan 367 penampilan bersama The Red Devils dan menjulang beberapa trofi utama.

Hanya trofi Liga Juara-Juara Eropah belum dinikmati pemain Sepanyol itu tatkala dia telah meraih Perisai Komuniti, trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala EFL serta Liga Europa.

Sepanjang lapan tahun berkelana di England, De Gea disenaraikan sebanyak lima kali dalam kesebelasan utama terbaik tahunan liga, termasuk musim 2017-18, di mana dia melalui 22 aksi Liga Perdana Inggeris tanpa dibolosi sekali gus.

Musim tersebut juga menyaksikannya menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Sir Matt Busby buat kali keempat selepas melakukannya pada musim 2013-14, 2014-15 serta 2015-16.



Kini, tiada sebab untuk De Gea tidak menampilkan aksi terbaik buat peminat United tatkala dia kini bergelar penjaga gol dengan bayaran tertinggi di dunia.

Sama ada karikatur De Gea dengan slogan 'closed on Sunday' akan kembali dijulang oleh peminat United, sama-sama kita nantikan.