Sejak bulan lalu, juara dunia sebanyak 16 kali, John Cena telah memetik idea untuk bertemu dengan jaguh lagenda The Undertaker di acara Wrestemania tahun ini.

Apabila laluannya untuk ke Wrestlemania melalui peluang kejuaraan menemui jalan buntu setelah tewas berturut-turut di acara WWE Elimination Chamber dan Fastlane, Cena tidak nampak jalan lain untuk ke Wrestlemania melainkan melakukan sesuatu yang sukar digalas, tidak lain dan tidak bukan dengan mencabar The Phenom di pentas gilang gemilang tersebut.

Cabaran demi cabaran dilontarkan. Bukan sekadar kata-kata positif, malah cercaan dan bait-bait promo memperlekeh terus dilakukan Cena saban minggu bagi memprovokasi bintang lagenda berusia 53 tahun itu. Dengan harapan, Taker akan naik angin dan lantas menerima pelawaan Cena untuk berentap di Wrestlemania.



Sayangnya itu tidak berlaku sama sekali. Segala hamburan kata-kata nista oleh Cena dan melabelkan Undertaker sebagai pengecut masih belum mengundang apa-apa reaksi daripada The Deadman. Setakat ini, hanya Kane yang menjadi wakil kepada abangnya itu apabila menghadiahkan gerakan choke slam minggu lalu, namun tewas bersih kepada Cena di acara kemuncak Raw semalam.

Dengan hanya tinggal seminggu lagi acara Raw terakhir sebelum Wrestlemania, Taker masih berteka-teki sama ada ingin menyahut cabaran Cena atau sebaliknya. WWE Universe dan Cena sendiri mengharapkan jawapan mutlak, atau jika tidak pun, mengharapkan agar Taker memberi sekelumit bayangan sebagai simbolik jawapan kepada cabaran ini.

Dalam siri-siri pertemuan pra Wrestlemania sebelum ini, Undertaker yang berstatus lagenda tidak perlu untuk muncul setiap minggu. Namun bagi menghangatkan sengketa untuk dibawa ke acara tahunan terbesar tersebut, lazimnya The Deadman akan aktif muncul di minggu-minggu terakhir bagi mendepani lawannya. Itulah tradisi yang dilakukan di tahun-tahun kebelakangan ini sehingga berjaya mencipta rekod kemenangan 22-2 di Wrestlemania sejak tahun 1991.

Peminat dan penganalisis juga sebenarnya masih tertanya-tanya tentang status Undertaker. Setelah tewas kepada Roman Reigns di acara kemuncak Wrestlemania tahun lalu, tindakan bintang misteri ini meninggalkan topi dan jubahnya di tengah gelanggang seolah-olah membayangkan yang dirinya telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia gusti profesional. Kudratnya yang semakin menyusut menyebabkan Undertaker dilihat agak lelah dan longlai mendepani tentangan daripada Roman, sehingga beliau dilihat seakan underdog dalam perlawanan tersebut.



Namun kemunculan semulanya semasa acara sambutan ke 25 tahun Monday Night Raw pada 25 Januari lalu membungakan kembali harapan peminat untuk menyaksikan Undertaker kembali beraksi. Cuma ucapannya pada waktu itu tidak memberikan gambaran atau bayangan jelas sama ada Undertaker akan terus beraksi atau tidak di acara Wrestlemania tahun ini.

Tindakan Cena mencabar Undertaker juga dapat dilihat sebagai tepat dan bijak. Selain ia boleh menjadi batu loncatan untuk Cena mencipta momen bersejarah dengan Undertaker di Wrestlemania, ia juga dapat memberikan indikator yang menunjukkan waktu persaraan masih belum wujud dalam kamus hidup Taker. Masih banyak lagi saki baki kudrat yang belum mampu diganggu gugat oleh sesiapa dalam melebarkan lagi legasi The Deadman.



Untuk rekod, Cena dan Undertaker hanya pernah bertemu dua kali secara satu lawan satu sepanjang karier masing-masing. Kedua perlawanan ini berlangsung semasa di awal-awal karier Cena iaitu di acara WWE Vengeance pada 27 Julai 2003 dan satu lagi di acara WWE Smackdown pada 24 Jun 2004. Kedua perlawanan menyaksikan Cena yang masih hijau ketika itu tewas bersih kepada The Undertaker.

Justeru, pertemuan semula Cena dan Undertaker ini pastinya menjadi sebuah perlawanan impian. Para peminat sudah tentu ingin melihat siapakah yang lebih hebat di antara kedua jaguh lagenda ini dan tidak mustahil perlawanan ini akan menjadi perlawanan penutup tirai buat kedua jaguh ini. Mungkin benar Undertaker memang malas ingin melayan kehendak Cena. Atau barangkali juga, Undertaker sengaja melengah-lengahkan responnya bagi memberi kejutan kepada peminat dan Cena sendiri.

Bayangkan di minggu terakhir sebelum Wrestlemania di acara Raw minggu hadapan, Undertaker akhirnya muncul menyahut cabaran Cena. Namun bukan dalam karakter Pengurus Pengebumian yang menyeramkan. Sebaliknya dengan deruman enjin motor berkuasa tinggi menandakan kembalinya karakter American Badass yang lebih profilik, energetik dan tidak lagi terperangkap dalam dunia kegelapan.



Dengan gimik ini seperti yang pernah dibawanya semasa tahun 2001 hingga 2003, Undertaker mampu menjadi dirinya yang sebenar dan segala hujah Cena mampu dipatahkan dengan bersahaja. Lantas momentum itu akan dibawa ke pentas Wrestlemania dengan penuh bergaya dan berkarisma. Tambahan pula Kid Rock telah diangkat sebagai penerima anugerah Hall Of Fame WWE kategori selebriti tahun ini. Tidak mustahil lagu American Badass yang pernah menjadi lagu tema Undertaker yang didendangkan penyanyi rock lagenda itu akan bergema semula sambil disambut deruman enjin merentasi laluan ke gelanggang.

Walau apapun, siaran Raw minggu hadapan akan memberi jawapan kepada segala spekulasi ini. Hanya waktu itu sajalah peluang untuk Undertaker menyatakan pendiriannya. Dan jika ditakdirkan yang memang Undertaker malas hendak melayan Cena dan lebih selesa berehat daripada beraksi, maka terpaksalah Cena menjadi penonton sahaja atau mungkin menyertai perlawanan Andre The Giant Memorial Battle Royal dengan bintang kelas pertengahan lain di perlawanan pra acara Wrestlemania.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEWrestlemania pada 9 April depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro dan Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.