Umar terima padah digantung tiga tahun aktiviti kriket

Shaiful Shamsudin
April 27, 2020 20:43 MYT
Umar Akmal dilarang daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kriket selama tiga tahun, menurut Lembaga Kriket Pakistan (PCB).
Pemukul itu dibicarakan di Lahore semalam atas dua tuduhan melanggar peraturan anti-rasuah PCB.
Pemain berusia 29 tahun itu didakwa "gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa dan keselamatan PCB -- (tanpa perlu menangguhkan) perincian lengkap apabila didekati atau menerima jemputan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan rasuah di bawah peraturan anti-rasuah".
Umar, yang digantung sementara sejak 20 Februari lalu, berdepan penggantungan seumur hidup jika didapati bersalah.
PCB melalui ciapan di Twitter semalam mengesahkan: "Umar Akmal dijatuhi hukuman penggantungan tiga tahun dalam semua aktiviti kriket oleh Pengerusi Panel Disiplin Keadilan (Bersara), Fazal-e-Miran Chauhan."
Umar telah beraksi dalam 121 perlawanan ODI dan 84 pertemuan Antarabangsa Twenty20 selain tampil dalam 16 perlawanan Test di antara 2009 dan 2011.
#ODI #Umar Akmal #Kriket