Setelah beberapa tahun UITM FC dilabelkan sebagai pasukan yang kurang pengalaman dan mentah dalam saingan Liga Malaysia akhirnya status itu terpadam dalam sekelip mata. Menewaskan pasukan-pasukan yang lebih gah darinya seperti Terengganu, Pahang dan Felda United dalam saingan Liga Super telah mula menampakkan betapa garangnya pasukan UITM FC musim ini. Walaupun baru tahun pertama berada dalam saingan Liga Super tetapi UITM FC telah berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman darinya. Semenjak tahun 2013, pengurusan UITM FC telah berusaha bertungkus lumus untuk mengangkat nama UITM FC di persada bola sepak negara.

Apa yang disemai selama ini telah pun menemukan hasilnya walaupun pelbagai onak dan duri dilalui tetapi pengurusan UITM FC terus tabah menghadapinya. Kehadiran Frank Bernhardt menambah lagi keceriaan ke dalam skuad UITM FC, dengan pengalaman yang dimiliki jurulatih dari Jerman itu banyak membantu UITM FC kali ini. Pernah bersama skuad Malaysia U23 sebelum ini sebenarnya telah banyak membantu Bernhardt memahami selok belok budaya bola sepak Malaysia dan kemampuan pemain-pemain di Malaysia. Itulah kelebihan yang dimiliki oleh Bernhardt waktu kini walaupun sebelum ini kehadirannya bersama UITM FC ada sedikit kebimbangan dari kalangan pemerhati bola sepak negara disebabkan pencapaian yang kurang baik ketika bersama skuad Malaysia U23.

Apa yang menarik tentang skuad kendalian Bernhardt ini sebenarnya, bagaimana beliau mengunakan peruntukan kewangan yang terhad dalam menguruskan perbelanjaan dengan baik sekali. Walaupun tidak membawa pemain-pemain ternama tetapi beliau bijak dalam mengunakan khidmat pemain-pemain muda yang ada sedikit pengalaman diperingkat domestik dan punyai kualiti seperti Arif Anwar dan Shafiq Al-Hafiz yang selari dengan falsafah bola sepak yang diterapkan di UITM FC. Sementara pemain import pula Bernhardt mendapatkan khidmat Ousmane Fane, Rabih Ataya, Mark Hartmann, Gustavo Almeida dos Santos dan Victor Nirennorld yang tidak mahal nilainya dan tetapi mempunyai kualiti dalam permainanya.

Bukan hanya bijak dalam menguruskan perbelanjaan mencari pemain berkualiti tetapi yang paling penting bagaimana elemen sains sukan juga diterapkan oleh Bernhardt dan pengurusan kejurulatihannya. Inilah kelebihan yang ada pada UITM FC apabila mendapat sokongan daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekerasi UITM sendiri. Dimana Prof. Madya Dr. Mohammed Firhad Raja Azidin merupakan tujang utama dalam menyediakan program-program sains sukan dalam skuad UITM FC. Inilah inti pati kejayaan skuad UITM FC ketika ini apabila bijak menguruskan perbelanjaan dan mempercayai sains sukan dalam meningkatkan prestasi pemain-pemain.