Apabila berjaya mengikat Real Madrid 1-1 di Stadium Alfredo Di Stefano milik tuan rumah dalam pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) malam tadi, ia telah memberi kelegaan kepada pengendali Chelsea, Thomas Tuchel.

Kejayaan mengikat Real Madrid itu sudah pasti akan memberi kelebihan dan keyakinan kepada Tuchel untuk menyusun strategi yang lebih baik pada pusingan kedua nanti di Stamford Bridge.

Ini peluang terbaik pengurus dari Jerman itu untuk melakar sejarah peribadi bersama Chelsea sekiranya layak ke pentas akhir setelah menggantikan Frank Lampard sebagai pengurus Chelsea. Kali terakhir Chelsea menjuarai UCL pada 2012 di bawah kendalian Roberto Di Matteo.

Daripada segi persembahan semalam tidak mustahil Chelsea boleh mencipta kemenangan di laman sendiri sekiranya pemain-pemain Chelsea terus fokus dan tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki.





Lihat sahaja bagaimana pemain-pemain tengah Chelsea memberi saingan kepada pemain-pemain berpengalaman Real Madrid dalam merencanakan gerakan.

Dengan formasi 3-5-2 yang diterapkan Tuchel itu memberi keseimbangan yang baik dalam mengekang gerakkan pemain midfield Real Madrid terutama ketika bertahan.

Walaupun Real Madrid mendominasi sedikit peratusan permainan namun ia tidak memberi kesan kepada pemain-pemain Chelsea.

Lihat sahaja bagaimana Ngolo Kante memainkan peranannya dalam mempelbagaikan corak serangan Chelsea serta mempunyai persefahaman dan kombinasi yang baik dengan pemain-pemain serangan seperti Christian Pulisic dan Timo Werner.

Walaupun Kante pernah disisihkan oleh pengendali terdahulu iaitu Frank Lampard namun semangat juang pemain kelahiran Perancis itu tidak pernah padam untuk membantu Chelsea terus memburu kejayaan.

Ketajaman bahagian serangan pada pusingan kedua nanti amat di tagih oleh Tuchel kerana beberapa peluang yang dimiliki semalam banyak dipersia-siakan terutama melalui Timo Werner. Ini diakui sendiri Tuchel semasa sesi temubual bersama media. Ia bukan satu tugas yang mudah untuk Tuchel berhadapan dengan taktikal dan strategi licik Zinedine Zidane sekali lagi namun sekiranya pemain-pemain Chelsea semangat melawan dan kerja secara berpasukan sebagaimana yang diterjemahkan semalam pasti tiada halangan untuk Chelsea peroleh kejayaan.