Setelah tamatnya saingan Euro 2016 yang melabuhkan tirai dengan Portugal muncul juara, kini peminat bola sepak tanah air tentunya akan kembali fokus kepada saingan bola sepak domestik Piala Malaysia yang baru saja bermula.

Syarat pertama, jangan bandingkan kualiti permainan, suasana perlawanan, mahupun kualiti sistem penyiaran kerana jika ini berlaku, jujur saya katakan, anda akan merasa bosan menonton aksi bola sepak domestik kita.

Setelah hampir sebulan melayani aksi aksi dari pasukan ternama seperti Itali, Jerman, Perancis dan juga Belgium, kini tiba masa untuk kita tukar mood menyaksikan aksi dari pasukan ternama tanah air seperti JDT, Selangor, Kelantan dan juga Felda United.

Selaku peminat tegar sukan bola sepak, saya sendiri mengerti perasaan seronok melayani aksi bertaraf antarabangsa seperti Euro mahupun BPL, namun selaku rakyat Malaysia yang pernah merasai sendiri suasana menonton perlawanan bertaraf dunia secara langsung, saya sedikit kecewa apabila melihat aksi saingan tempatan. Kecewa bukan kerana saya membuat perbandingan dengan aksi dari liga luar negara, tetapi kecewa kerana kita masih belum berada di tahap yang mampu dibanggakan.

Jika dilihat dari pelbagai sudut dalam padang seperti corak permainan, kualiti padang, fasiliti stadium, kredibiliti pengadil & pegawai bertugas, ketepatan masa perlawanan, organisasi yang tidak efisyen mahupun kualiti pemain sama ada import ataupun tempatan, beritahu saya yang mana anda berpuas hati?

Di luar padang pula, banyak yang boleh dipertikaikan seperti sistem penjualan tiket, tahap kebersihan dan keselamatan, ruang letak kenderaan yang tidak mencukupi, penjualan makanan dan minuman dari segi harga dan kualiti makanan, penjualan barangan tiruan secara berleluasa, termasuk juga kualiti penyiaran yang mampu memberi kepuasan kepada penonton, terlalu banyak sebenarnya yang boleh dipersoalkan.

Walau apapun, apa yang mampu kita lakukan, nak tukar mood tengok bola punya pasal, orang kata, makan, kemudian hadam. Layan saje lah!