Ungkapan “tangan tuhan” sebagai kiasan terhadap jaringan kontroversinya dalam perlawanan Piala Dunia di antara Argentina-England di Mexico pada 22 Jun 1986, harus sudah boleh disemadikan bersama mendiang Diego Maradona.

Galang gantinya adalah ungkapan “Tuhan letakkan tangannya di atas kepalaku” cetusan penjaga gol, Alisson Becker, yang menanduk masuk gol kemenangan Liverpool pada minit ke-90+5 perlawanan liga di Stadium The Hawthorns milik West Brom, awal pagi tadi.

Jika anda seorang wartawan, barangkali anda boleh menulis sebuah buku yang tebal untuk mengisahkan satu jaringan yang biasa-biasa tapi dalam situasi yang sangat luar biasa di sebalik “kegilaan” beberapa saat yang berkisar kepada penjaga gol Liverpool dan Brazil berusia 28 tahun itu.



“Sesuatu yang ‘gila’, berkelas dunia dan sempurna,” kata pengurus Liverpool, Jürgen Klopp, seperti dipetik akhbar The Liverpool Echo mengenai beberapa detik yang sangat istimewa itu.

Ia hanyalah kali keenam seorang penjaga gol telah membuat jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan yang pertama seumpamanya dalam sejarah Anfield.



Klopp melabelkan gol itu “berkelas dunia” sambil menyatakan rasa amat gembiranya terhadap penjaga golnya itu yang mengharungi pelbagai suka-duka, baik di dalam mahupun di luar padang tahun ini.

Alisson kehilangan bapanya hanya Februari lalu di samping dia sendiri menjadi bapa buat kali ketiga kepada seorang anak lelaki awal bulan ini, di tengah-tengah nasibnya yang turun-naik di antara tiang gol The Reds musim ini.

Menghuraikannya lagi, Klopp menyifatkan tandukan cemerlang Alisson itu sebagai “detik yang istimewa” buat “seorang yang menakjubkan”, apatah lagi penjaga gol itu seorang yang sangat disenangi dan dihormati oleh rakan-rakan sepasukan.

“Alisson mungkin telah melakukan aksi menyelamat yang terhebat buat Liverpool,” tulis Paul Gorst, koresponden Liverpool FC untuk akhbar The Liverpool Echo.

Mengulangi nada yang sama, rakan sepasukan, Thiago Alcantara, menyimpulkan jaringan emas Alisson itu teramat penting dalam mengekalkan harapan Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.



Pada ketika kedudukan terikat 1-1 hasil gol Hal Robson-Kanu (m-15) dan Mohamed Salah (m-33)
menuju ke wisel penamat, Alisson melonjak untuk menyudahkan satu tandukan layang terhadap sepakan sudut Trent Alexander-Arnold ke sudut pintu gol tuan rumah.

Thiago, yang mengakui tidak pernah mengalami detik seumpama itu, menambah: “Kami harus menonton dan mengulang tonton gol itu kerana ia sangat beremosi buat kami…

“Bukan saja untuk peluang kami ke Liga Juara-Juara, tapi lebih-lebih lagi buat Alli dengan pelbagai suka-duka yang telah dilaluinya tahun ini.

“Jadi, kami semua berasa sangat gembira untuknya.”

Di sebalik semua itu, pengkisahan terbaik harus datangnya daripada Alisson sendiri.

Sambil mendedikasikan gol itu kepada keluarganya, Alisson, yang bapanya mati lemas dalam satu kejadian tragis, mengungkapkan: “Tuhan meletakkan tangannya di atas kepala saya hari ini.

“Saya sangat beremosi dengan semua perkara yang berlaku dalam hidup saya akhir-akhir ini.

“Bola sepak adalah hidup saya, sejak daripada saya mengingatinya bersama bapa saya.

“Ia adalah gol terbaik yang pernah saya jaringkan. Saya harap dia (bapa) berada di sana, menonton dan meraikannya,” tambahnya seperti dipetik oleh akhbar The Guardian.

Kemenangan 2-1 awal pagi tadi merapatkan anak buah Klopp kepada hanya satu mata di belakang Chelsea di tangga keempat, dengan berbaki dua perlawanan menentang Burnley, Rabu ini, sebelum menerima kunjungan Crystal Palace, Ahad ini.