Kembalinya Fabinho sebagai pemain tengah bertahan (DM), kembali jugalah Liverpool mencatat kemenangan.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini kerap menggunakan Fabinho sebagai bek tengah bersama kapten pasukan, Jordan Henderson yang juga asalnya pemain tengah sejak Virgil Van Dijk dan Joe Gomez dilanda kecederaan pada awal musim.

Klopp sebelum ini tampak kurang yakin menurunkan pemain muda, Rhys Williams dan Nat Philips atau menggandingkan salah seorang mereka bersama pemain pinjaman daripada Schalke 04, Ozan Kabak.

Ketiadaan Fabinho dan juga Henderson yang kini cedera di bahagian tengah jelas memberi kesan kepada permainan Liverpool yang menyaksikan mereka tewas enam aksi berturut-turut di Anfield.

Bagi penulis Klopp dan Pengarah Bola Sepak kelab, Michael Edwards bukan hanya perlu memastikan pasukan mempunyai pemain bek tengah gantian berkualiti, tetapi juga pemain gantian DM atau no.6 yang berkualiti.

Kebanyakan peminat dan pengkritik kerap beranggapan prestasi merudum Liverpool kebelakangan ini adalah kerana kecederaan Gomez dan Van Dijk, tetapi bagi penulis adalah kerana Henderson dan terutamanya Fabinho tidak beraksi di posisi asal mereka.

Philips sudah membuktikan dia kini membentuk gandingan baik bersama Kabak di bek tengah ketika menewaskan Wolves 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan menundukkan RB Leipzig 2-0 di aksi timbal balik 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu.

Jadi Fabinho kini boleh kembali bermain di bahagian tengah namun, Liverpool masih tidak mempunyai pemain lain sebagai DM jika pemain Brazil itu mengalami kecederaan atau menjalani pergantungan perlawanan kelak.

Realitinya, peminat setia Liverpool harus berdoa situasi seperti itu tidak berlaku dan Henderson mampu segera pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

Peluang juara bertahan EPL itu untuk menamatkan saingan musim ini di empat tempat teratas kini tampak cukup mencabar.

Tetapi jika Fabinho sentiasa ada dan bermain di posisi asalnya, sasaran empat terbaik liga untuk ke UCL musim depan mampu dicapai.

Situasi sukar Liverpool musim ini seharusnya menjadi pengajaran buat Klopp dan pucuk pimpinan kelab itu untuk pembelian pemain lebih bijak musim depan.

Pembelian musim ini hanya menyaksikan penyerang Portugal, Diego Jota yang menjadi tatkala bek kiri Greece, Kostas Tsimikas jarang diturunkan dan bekas tonggak tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara jelas tidak konsisten dan seakan sukar adaptasi dengan bola sepak Inggeris.

Sebagai antara kelab yang dianggap terbesar dunia, Liverpool perlu mendapatkan seorang pemain berprofil tinggi musim depan seperti Erling Haaland atau Kylian Mbape.

Jika terdapat antara bintang utama dalam skuad kini yang sudah tiada hati bersama pasukan, elok saja dijual dengan harga tinggi bagi membiayai pembelian tonggak baru.