Tolong jangan ambil kesempatan dan jangan rampas hak kami..

Mungkin itu antara ungkapan yang terbuku dalam hati di kalangan pemain bola sepak tempatan ketika ini. Tatkala pendemik covid-19 yang belum ada titik nokhtah, isu pemotongan gaji terus diperkatakan.

Situasi ini pastinya semua sektor terkesan termasuklah sukan terutamanya bola sepak. Saya memahami bahawa bukan mudah berdepan situasi yang tidak dijangka ini, liga terpaksa ditangguh tetapi liabiliti pasukan masih perlu ditanggung. Banyak pihak mohon agar pertimbangan pemotongan gaji pemain segera dilakukan bagi mengurangkan bebanan pengurusan pasukan. Tetapi sejauh manakah pihak pengurusan terkesan sehingga isu gaji pemain menjadi topik utama ketika ini? Adakah terkesan setelah tiada pendapatanan hasil penjualan tiket perlawanan? Adakah hasil penjualan tiket cukup menampung pembayaran gaji pemain?

Itu antara persoalan timbul ketika ini.

Menerusi pemahaman saya dan kebiasaannya, perancangan dan budget kewangan kursusnya pembayaran gaji semusim telah dilakukan sebelum liga membuka tirai. Proses mendapatkan pemain juga akan bergantung kepada kantung setiap pasukan.
Saya sempat berhubung dengan beberapa pemain yang masih beraksi di liga utama, tetapi tidak perlu saya nyatakan nama mereka. Di pihak pemain, pastinya mereka tidak bersetuju dan ada di kalangan pemain beranggapan segelintir pihak pengurusan menjadikan covid-19 sebagai alasan untuk memotong dan melewatkan pembayaran gaji pemain. Saya ulang, bukan semua pasukan.

Pemain sedar bahawa masih terdapat pasukan yang sentiasa berdepan masalah pembayaran gaji. Malah ada pasukan yang masih belum menyelesaikan tunggakan lalu dan disebabkan itu, awal-awal lagi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertegas dan berkeras memihak kepada pendirian pemain. Mereka mahu berbalik kepada kontrak sepertimana dipersetujui terutamanya berhubung isu pembayaran gaji, bukannya pemain menjadi mangsa.

Namun, pendirian ini tidak kekal lama. PFAM kembali berlembut, lebih-lebih lagi apabila pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut melakukan pemotongan gaji pekerjanya.

Menurut kenyataan presiden PFAM, Safee Sali bahawa mereka boleh bertolak ansur dan membuka ruang perbincangan tetapi kekal dengan pendirian bahawa pemotongan perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak.

Tambah Safee kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, beliau mempersoalkan pengurusan UKM FC apabila bakal melakukan pemotongan gaji, tanpa persetujuan pemain. Ia tidak telus dan tidak adil kepada pemain.

Itu saya katakan di awal penulisan ini, jangan ada yang ambil kesempatan. jika benar pasukan terjejas disebabkan penaja menarik diri, mungkin proses pemotongan gaji realistik dilakukan. Tetapi biarlah telus dan ada perbincangan dalaman bersama pemain. Apa yang penting, kerjasama.