Saingan Liga M 2021 belum lagi bermula, tetapi sudah kedengaran desas-desus di laman sosial serta media arus perdana mengenai segelintir pasukan yang sudah mempunyai masalah gaji tertunggak satu hingga dua bulan.

Masalah gaji tertunggak memang bukan lagi masalah baru dan kini dengan kesemua pasukan terkesan dalam menangani pandemik COVID-19, ia mungkin akan sekali lagi membayangi saingan musim ini.

Bola sepak negara kini sudah memasuki era penswastaan dengan kesemua pasukan kini sudah menjadi kelab bola sepak (FC) sepenuhnya dan sebelum ini Liga bola Sepak Malaysia (MFL) sudah pun memperkenalkan Program Kawalan Ekonomi (ECP).

Malangnya ia masih belum memberi penyelesaian menyeluruh buat setiap pasukan bebas daripada masalah gaji tertunggak pemain dan pegawai pasukan.

Bagi penulis, biarpun berdepan pandemik COVID-19 pengurusan kelab perlu bijak menangani situasi tersebut dan membuat bajet pembelanjaan mengikut kemampuan mereka.



Aksi Liga Super bakal kembali pada 5 Mac dengan enam perlawanan, termasuk perlawanan sumbangsih antara Johor Darul...

Posted by Malaysian Football League on Friday, February 19, 2021


Ketika ini difahamkan terdapat empat pasukan Liga Super dan satu daripada Liga Perdana yang berdepan masalah gaji tertunggak.

Bagi penulis, sesetengah pasukan walaupun sudah berstatus FC tetapi masih "berfikiran amatur" malah apabila ada usahawan atau syarikat koporat yang mahu membeli sesebuah pasukan, ada antara mereka yang berada di Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) membuat permintaan yang luar dugaan.

Akhirnya, mereka di FA kekal mentadbir pasukan di FC kerana kesukaran mencapai kata sepakat dalam menswastakan sepenuhnya pengurusan pasukan.

Pemain-pemain juga harus lebih berani tampil mempertahankan hak mereka apabila gaji tertunggak lebih daripada dua bulan, kerana jika tiada aduan tidak ada tindakan yang boleh diambil terhadap pasukan.

Sebenarnya pemain hari ini beruntung kerana mempunyai Persatuan pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) yang akan tampil mempertahankan kebajikan pemain.



Jadual perlawanan pembukaan Liga Premier 2021 yang akan berlangsung pada 6 Mac! ⚽️ Muat turun jadual penuh di ➡...

Posted by Malaysian Football League on Friday, February 19, 2021


Jadi bagi penulis, tiada sebab mengapa pemain kini perlu berasa takut untuk mempertahankan hak mereka.

Suka atau tidak, pengurusan kelab kini perlu memastikan mereka mempunyai struktur kewangan yang kukuh dan belanja dengan bijak dalam mengharungi musim ini.

Bagi penulis juga, kegagalan membayar gaji pemain dan pegawai pasukan pada hujung bulan ada kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kerana itu, penulis amat berharap FAM dan MFL telus dan tegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pasukan yang gagal melunaskan bayaran gaji pemain.

Mungkin lagi baik jika saingan utama bola sepak negara hanya dibarisi lapan pasukan yang tiada masalah pembayaran gaji daripada bilangan pasukan banyak tetapi sebahagian besar mempunyai masalah kewangan.

Penulis tidak melihat sebarang sebab yang relevan untuk FAM dan MFL untuk terus berkompromi dengan pasukan-pasukan yang memang terkenal dengan masalah tunggakkan gaji ini lagi.