Mimpi yang cukup indah.

Azizulhasni menjadi Juara Dunia Keirin selepas 10 tahun mencuba.

Perjalanan penuh berliku dan proses yang mencabar semata-mata merangkul Rainbow Jersey amat berbaloi untuk atlet kelahiran Dungun itu.

The Pocket Rocketman merai kejayaannya dengan memakai jersi dan pingatnya, dan tidur dengan lena.

Azizul yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 memuat naik dua gambarnya yang menyentuh hati para peminat yang percaya tiada siapa yang boleh menghalang pelumba berbasikal yang bertubuh kecil ini menggapai impian seterusnya iaitu membawa pulang ke Malaysia, pingat emas pertama Olimpik.

Sebaik sahaja tiba di KLIA pada Isnin, Azizulhasni diberi sambutan seorang wira negara oleh para pegawai dan para peminat.

Bagi menghargai kejayaan atlet pelajar 29 tahun ini yang menuntut di salah sebuah universiti di Australia, ada yang mencadangkan supaya Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan di namakan sempena Azizulhasni Awang.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Azizulhasni akan diberi penghormatan sebagai atlet berbasikal pertama yang akan mencuba trek itu sebelum majlis penyerahan velodrom itu untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Para Asean.

Namun bagi Azizulhasni, dia perlu bangun dari mimpi manis ini kerana realitinya ada tugas lebih besar yang perlu dicapai.

Ayah kepada dua anak perempuan ini menyatakan tugasnya belum berakhir kerana impian seterusnya adalah pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Tetapi buat masa ini, mimpi sebagai Juara Dunia yang menjadi realiti cukup indah buat Azizulhasni Awang.