Tanggal 8 Ogos 2021 menjadi saksi Sukan Olimpik edisi ke-29 dinoktahkan secara rasmi di Stadium Olimpik Tokyo.

Selepas setahun ditangguhkan gara-gara pandemik COVID-19 yang melanda global, bumi Matahari Terbit pasti menjadi memori yang tidak akan dilupakan daripada 206 negara bertanding yang merangkumi 11,656 atlet.

Namun, hanya 86 negara sahaja yang berjaya mengunggulinya.

Dengan 340 pingat emas, 338 perak dan 402 gangsa merangkumi 1080 keseluruhannya, kontinjen negara terpaksa berpuas hati dengan satu perak dan satu gangsa yang diraih menerusi sukan berbasikal trek dan badminton.

Sasaran tiga pingat yang disandarkan kepada 30 atlet negara sudah pasti akan dikaji semula selepas misi emas sulung masih belum digapai.




Walaupun acara penutup tidaklah seghairah seperti 28 edisi sebelum ini, ia tetap meriah dengan persembahan yang penuh artistik dan berwarna-warni sebelum obor yang gah bernyala sejak 23 Ogos lalu dipadamkan.

Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, mengisytiharkan temasya Tokyo 2020 tamat sambil menyifatkan pertandingan yang diselubungi pandemik itu sebagai satu pengembaraan Olimpik paling mencabar.

"Kini saya akan menandakan penamat pengembaraan Olimpik paling mencabar ke Tokyo: Saya mengisytiharkan temasya ke-32 Olimpik ditutup," katanya.

Bendera Olimpik turut diserahkan kepada Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, untuk temasya 2024.