Keputusan yang tidak dijangkakan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih belum mematahkan semangat ratu terjun negara, Pandelela Rinong, untuk meneruskan kariernya, termasuk dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Pandelela menganggap tiada tuah buatnya dalam edisi kali ini selepas menduduki tangga tercorot acara final 10m platform individu wanita semalam.

Kakinya sedikit terkena platform sebelum melakukan 'entry' yang kurang kemas pada terjunan pertama, sekali gus 18 mata yang dipungutnya menjejaskan momentumnya sepanjang saingan itu .

Kegagalannya dalam acara berkenaan turut menyaksikan skuad terjun negara tidak dapat menepati sasaran satu pingat dalam edisi kali ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menganggap ia bukanlah penamat segalanya dan bersedia untuk bangkit pada masa akan datang.

"Memang terkejut, saya juga tidak jangka akan menjadi seperti itu kerana dalam latihan semuanya betul tetapi apabila kejohanan jadi seperti itu pula," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

"Jadi saya perlu terima dan redha. Saya rasa kali ini memang bukan tuah saya tetapi yang paling penting, saya sudah mencuba yang terbaik dan saya akan memberikan yang lebih baik pada masa akan datang."