Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, tanpa berselindung mengakui kegagalan sukan terjun dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terjun merupakan salah satu daripada sandaran pingat negara dalam temasya berkenaan selain badminton dan berbasikal trek.

Bagaimanapun, ia tidak dapat direalisasikan dalam tiga acara yang disertai wakil negara, iaitu Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Shapawi berkata: "Agak sedih juga pengakhiran buat sukan terjun ini, di mana kita gagal dan kita perlu mengakui bahawa kita gagal.

"Kita perlu mengkaji semula kelemahan kita. Niatnya ada, usaha juga ada walaupun menghadapi banyak kekangan dan masalah.

"Tetapi ia tetap perlu diharungi sama seperti orang lain," katanya.