Mary Kom nampaknya tidak bersedia untuk melepaskan impiannya untuk memenangi pingat emas tinju Sukan Olimpik walaupun tewas dalam Tokyo 2020.

Petinju berusia 38 tahun dari India itu tewas menerusi keputusan pengadil (3-2) kepada pesaing dalam kategori flyweight, Ingrit Lorena Valencia Victoria dari Colombia dalam pusingan 16 di Kokugikan Arena semalam.

Kom, ibu kepada empat orang anak, belum menolak penampilan di Paris 2024 pada usia 41 tahun jika dia memenuhi kelayakan umur bagi temasya itu.

Sepanjang kariernya, Kom telah meraih enam gelaran dunia dan pingat gangsa Olimpik London 2012 dan mengharapkan untuk meraih pingat emas di Tokyo.

"Had umur saingan adalah 40 tahun tetapi mungkin ia akan berubah," kata Kom.

"Saya masih cukup kuat. Itulah yang ada dalam hati dan fikiran anda. Ini mengenai jika anda mempunyai kehendak, mentaliti yang kuat.

"Fokus, berdisiplin. Selama 20 tahun semua tumpuan saya adalah untuk berjuang dan saya mengetahui negara saya bersama saya.

"Apabila saya melihat kenangan saya, itu sangat luar biasa. Sangat mudah untuk mengatakan bahawa saya adalah juara dunia satu, dua kali, tetapi pada kenyataannya, melakukannya tidak mudah. Anda harus mempunyai keperibadian yang unik."