Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menepati ramalan apabila mara ke final acara keirin sementara seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di pusingan suku akhir.

Selepas persembahan yang cukup mengagumkan dipamerkan Shah Firdaus, jatuh dalam pusingan pertama sebelum bangkit meloloskan diri ke pusingan suku akhir hasil menamatkan saingan di tempat kedua dalam repechage, dia sekali lagi meletakkan sasaran untuk meneruskan kemaraan.

Di sebalik kecederaan yang dialami, Shah Firdaus antara yang terpantas dalam saringan kedua melancarkan serangan ke kelompok hadapan bagi memastikan kekal dalam kelompok empat terbaik, namun kayuhan bertenaga yang dipamerkan pesaing lain memaksa dia menamatkan perlumbaan tersebut pada pusingan terakhir sekaligus menamatkan cabarannya dalam Tokyo 2020.

Dalam perlumbaan saringan ketiga, Azizulhasni mengorak langkah mengikut gerakan pelumba tuan rumah, Yuta Wakimoto, dengan tenang untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekaligus mara ke separuh akhir.

Azizulhasni meneruskan kayuhan cemerlang, sekali lagi mengikut gerakan Wakimoto sebelum melakukan serangan dalam pusingan terakhir sebelum memenangi separuh akhir untuk ke final sebentar lagi.