Pemain bola sepak negara yang berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak, percaya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, mampu membutirkan pingat emas sulung buat Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menuju ke penghujung Tokyo 2020, arena sukan negara akan tertumpu kepada Azizulhasni sebagai sandaran pingat emas dalam acara kegemarannya, Keirin, bermula esok.

The Pocket Rocketman akan turut ditemani seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, dalam saingan berkenaan.

Sudah pasti aksi pemenang pingat gangsa edisi di Rio pada 2016 itu akan mengundang keterujaan seluruh peminat sukan tanah air dan tidak terkecuali Hadi Fayyadh, yang mengidamkan untuk mendengari lagi negaraku berkumandang di bumi Jepun.

Penyerang negara itu, yang mewakili kelab Liga J3, Azul Claro Numazu, turut berhajat untuk menyaksikan lebih dekat kayuhan Azizulhasni dan Shah Firdaus di Veledrom Izu memandangkan tempat tinggalnya di Numazu, Shizuoka hanya terletak 28 kilometer dari venue berkenaan.

"Pertama sekali saya mahu mengucapkan tahniah dan saya berasa amat berbangga dengan seluruh kontinjen Malaysia yang dapat menyertai Sukan Olimpik tahun ini," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Untuk berada dalam Sukan Olimpik merupakan satu pencapaian yang amat baik.

"Bukan semua orang dapat berada dalam Sukan Olimpik dan saya amat berbangga kerana mereka telah melakukan yang terbaik.

"Saya sentiasa menyokong dan mengikuti perkembangan Azizulhasni Awang dan saya harap dia boleh dapat mengutip pingat emas pertama buat Malaysia.

"Perjalanan kariernya ada naik dan turun, saya amat menghormatinya kerana dia tidak pernah berputus asa.

"Walau apa yang berlaku, dia tetap berusaha keras dan walaupun sudah bergelar juara dunia, dia tetap meneruskannya.

"Jadi, dia sememangnya menjadi inspirasi saya dan berharap dapat memiliki mental yang kuat sepertinya dalam menjadi seorang atlet profesional terbaik," katanya.