Shah Firdaus Sahrom tidak menolak pandangan yang dilontarkan bekas atlet berbasikal negara, Rosman Alwi, mengenai keperluan dua wakil negara itu memasang strategi dalam pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang membuka tirai Jumaat ini.

Bagaimanapun, pelumba berumur 25 tahun itu mengakui taktik utamanya serta Datuk Azizulhasni Awang ketika ini ialah melepasi pusingan saringan memandangkan kedua-duanya akan bertanding dalam acara pecut dan keirin.

"Fokus kami adalah untuk lepas ke final. Kemudian (barulah) saya dan Azizul dan jurulatih atur strategi.

"Pelumba Malaysia sememangnya pakar dalam keirin, tapi ini tidak bermakna kami tidak fokus dengan pecut.

"Jurulatih memfokuskan saya untuk keirin sambil mengimbangi latihan kedua-duanya. Cuma kelebihan kami ialah acara keirin," kata pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu di Nadi Arena, sebentar tadi.




Begitupun, Shah Firdaus yang digelar kuda hitam dalam temasya kali ini bersiap untuk mengintai kejutan dalam penampilan sulung.

"Perlumbaan kelak akan tertumpu ke arah Azizul. Saya akan ikut pelan yang jurulatih tetapkan.

"Macam-macam boleh terjadi dalam keirin jadi saya fokus sahajalah kepada apa yang perlu dibuat dalam perlumbaan."