Dua pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, menamatkan cabaran acara pecut Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam pusingan ketiga selepas tewas dalam saingan repechage ke suku akhir sebentar tadi.

Azizulhasni, yang melewati perlumbaan panjang untuk ke pusingan ketiga semalam, tewas kepadap pemegang rekod Sukan Olimpik dari Belanda, Jeffrey Hoogland, sekali gus perlu beraksi dalam pusingan repechage.

Malangnya, jaguh negara itu tewas kepada penyandang pingat emas dari Great Britain, Jason Kenny, sekali gus tidak dapat meneruskan cabarannya dalam acara berkenaan.

Nasib sama turut menimpa seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus, yang tewas kepada juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Pelumba negara itu kemudian tewas kepada wakil Perancis, Sebastien Vigier, dalam pusingan repechage, untuk kini menumpukan sepenuhnya dalam acara keirin.

Azizulhasni dan Shah Firdaus akan memulakan saingan acara keirin di Velodrom Izu, Sabtu ini.