Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memberikan gambaran awal betapa dia akan berusaha sebaik mungkin untuk membutirkan pingat emas pertama negara apabila mengungguli pusingan saringan acara Keirin sebentar tadi.

Dalam saringan ketiga di Velodrom Izu itu, Azizulhasni layak ke suku akhir selaku juara di depan pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul.

Terdahulu, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, mempamerkan semangat juang yang luar biasa selepas terlibat dalam kemalangan saringan kedua.

Pelumba kelahiran Muar, Johor itu dihimpit oleh pelumba Great Britain, Jack Carlin, sehingga terjatuh dan tidak dapat meneruskan perlumbaan yang dimulakan semula itu.

Bagaimanapun, meskipun disahkan mengalami kecederaan di bahagian rusuknya, Shah Firdaus memilih untuk menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dan dia sekali lagi hampir terjatuh pada pertengahan perlunmbaan itu sehingga suatu ketika berada di kedudukan paling belakang.

Namun, dengan penuh keazaman, Shah Firdaus melakukan henjutan terakhir dalam kesakitan untuk menamatkan saingan itu di tempat kedua di belakang Kwesi Browne (Trinidad and Tobago), sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pelumba negara itu akan bersaing di peringkat suku akhir esok dalam usaha merealisasikan impian pingat emas negara,

*Kredit foto: asiana.my