Tunku Mahkota Johor (TMJ) menggariskan 11 tajuk dalam manifestonya. Senarai perkara yang perlu dilakukannya harus 10 kali ganda.

Sejurus diangkat selaku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, baginda tidak pun perlu merenung jauh apa yang menjadi peringatan terhadap tugas berat yang menantinya dan barisan kepemimpinan baru FAM bagi penggal 2017-2021 ini.

Keputusan seri 0-0 dengan Filipina di Manila, Rabu lalu, menyimpulkan sejauh mana sudah hanyutnya bola sepak Malaysia – pada ketika Azkals sudah mengorak langkah daripada dulunya pasukan belasahan sambil Harimau Malaysia yang kehilangan taring menyusun langkah berlawanan ke belakang.

Di sebalik jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Filipina itu “satu keputusan positif” – bola sepak tidak mungkin lebih mengaburi daripada itu -- hakikatnya kekal bahawa bahawa 10 tahun sudah berlalu sejak pasukan kebangsaan menang 4-0 ke atas lawan itu dalam kempen Piala Suzuki 2007.

Bayangkan Malaysia sudah 10 tahun tidak pun mampu mengalahkan pasukan seperti Filipina. Kecuali mungkin hanya Timor Leste!

Andai mahu dibuat perbandingan lanjut di antara kedua-dua pasukan, Malaysia pernah menduduki kedudukan tertinggi di tangga ke-75 dalam ranking FIFA (Ogos 1993) dibandingkan dengan tangga ke-161 ketika ini – satu kemerosotan 86 anak tangga.

Sebaliknya, Filipina pula merosot sedikit dari puncak tertingginya di tangga ke-115 (Mei 2016) ke tangga ke-124 kini – perbezaan hanya sembilan anak tangga. Kesimpulannya, Filipina masih mampu bertahan dengan tahap bola sepaknya manakala Malaysia memilih terjunan bebas.

Ia mungkin bukan sangat kebimbangan Kim Swee – seperti dibayangkannya selepas perlawanan Rabu lalu -- tapi kini menjadi kegusaran besar buat DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Daripada seorang yang tewas dalam perebutan jawatan presiden dalam pemilihan penggal lalu, kepada seorang yang mengisytiharkan tidak berminat kepada jawatan itu melainkan berperanan penasihat semata-mata, dan tiba-tiba kini mendapati dirinya menang tanpa bertanding.

Seterusnya, daripada seorang pengkritik paling lantang terhadap FAM, TMJ kini tidak dapat mengelak daripada bertanggungjawab – dan dipertanggungjawabkan – untuk membawa FAM dan bola sepak Malaysia keluar dari gua kegelapannya.

Segala kritikan dan tegurannya terhadap FAM pada masa lalu akan dirasakan kembali menghambatnya kini untuk mencari penyelesaiannya tanpa Tunku Ismail boleh menyalahkan kepemimpinan terdahulu buat selama-lamanya kecuali barangkali cuma buat beberapa ketika.

Umpama pengambilalihan dalam syarikat korporat, perubahan kepemimpinan dalam FAM tidak pun berbeza – bukan sekadar asetnya yang diwarisi tetapi liabilitinya sama.

Sudah semestinya sambil sebahagian peminat bola sepak mengalu-alukan pemilihan TMJ selaku ‘jurumudi’ bola sepak negara untuk membawa perubahan yang dicitakan, akan ada sebahagian lagi yang akan memperhalusi setiap langkah, gerak kerja dan tutur-bicaranya dengan penuh minat.

Tidak kurang juga yang membuat kesimpulan bahawa mengurus tadbir sebuah kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi papan anjal melonjakkan Tunku Ismail, tidak akan sama dengan badan induk bola sepak negara yang pastinya lebih kompleks dan rencam.

Dalam pada itu, pengalaman membangunkan JDT hingga ke peringkat menjadi penanda aras bola sepak negara, harus menyiapkan baginda dengan idea-idea apa yang boleh dan tidak boleh dilaksanakan dalam memimpin FAM.

Barangkali satu-satunya ‘kelegaan’ buat TMJ ialah bola sepak Malaysia sudah pun sampai ke beberapa aras di tingkat bawah tanah dan tidak mungkin turun lebih rendah lagi – satu-satunya pergerakan ialah beransur-ansur naik ke atas.

Harus mudah untuk menyimpulkan bola sepak Malaysia sudah hanyut selama 33 tahun lamanya – kejayaan terakhir menempah slot Sukan Olimpik 1980 masih diputar-ulang selama lebih tiga dekad – tetapi umum pastinya tidak akan membenarkan Tunku Ismail tempoh selama itu juga untuk menghakiminya.

TMJ boleh mengambil masa selama mana yang baginda mahukan tapi peminat bola sepak yang sudah terlalu lama kehausan kejayaan, harus mula menghitung daripada pusingan kelayakan Piala Asia 2019 – Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong – bermula Jun ini dan sasaran emas Sukan SEA 19-31 Ogos depan buat skuad bawah 22 tahun negara.

Bukan sekadar peminat di seluruh Malaysia, malah dunia akan meneropongi Tunku Ismail, genap berusia 33 tahun 30 Jun ini, selaku antara yang termuda – kalaupun bukan yang termuda -- memimpin sebuah badan induk bola sepak kebangsaan.

Bola sepak Malaysia sedang meniti permulaan baru dan ia bermula dengan hayunan langkah pertama Tunku Ismail, presiden FAM keenam sejak 1951.