Mungkin ada sebab tersendiri pendirian diambil BAM kali ini dalam mempertaruhkan skuad muda dengan pihak media dan peminat badminton tanah air sudah banyak kali menyatakan berikan sahaja peluang buat bakat-bakat muda. Ini mungkin apa yang hendak disampaikan BAM bahawa sudah masanya mereka ambil keputusan drastik ini.

Setuju atau tidak, BAM sudah membuat keputusan dan kita perlu terima hakikat Chong Wei sudah di penghujung kerjaya dan wajar BAM mengurangkan kebergantungan terhadapnya dan beri peluang buat pemain-pemain muda.

Ramai yang berdebat kalau Chong Wei disenaraikan ia pasti berikan suntikan semangat kepada pemain-pemain muda ini walaupun selaku pemain simpanan. Tetapi sampai bila Chong Wei hendak terus beri sokongan moral jika pemain muda tidak ambil inisiatif buktikan kemampuan mereka? Ini masa untuk mereka berdikari (berdiri di atas kaki sendiri)!

Dan jika pemain muda sebelum ini pernah merungut tidak diberikan peluang, ini masa tepat mereka balas kritikan. Peluang sudah di depan mata, jika tidak buktikan, bila masa lagi?

Umum mengetahui misi utama Chong Wei tahun ini adalah emas di Sukan Olimpik Rio dan dia perlu bijak memilih kejohanan untuk disertai supaya mengurangkan risiko kecederaan dan mencapai prestasi kemuncak di Rio Ogos depan.

Terpulang jika ada yang masih salahkan BAM, tetapi keputusan adalah muktamad dan harapan pastinya pemain muda ini manfaat peluang sepenuhnya dan tidak gugup ketika bertanding.

Saya mahu percaya masa depan sukan badminton di Malaysia kini di tangan pemain muda ini dan bukan setakat Chong Wei sahaja yang mengerah kudrat dalam mengharumkan nama Malaysia.

Selamat Maju Jaya!