‘(Fernando) Alcantara masih baru dalam mengenal pemain kami.’

‘Kami mundur dari segi fasiliti dan barisan kejurulatihan, tapi ia 90 minit yang mendebarkan buat Malaysia, bayangkan jika sokongan (jurulatih, fasiliti & keperluan pemain) kami juga setanding Malaysia’

Itu reaksi bersahaja penyokong Timor Leste pada Selasa usai aksi kelayakan Piala Dunia Timor Leste menentang Malaysia yang menyaksikan kemenangan 1-0 skuad negara.

Apabila pasukan yang pernah menduduki tangga tercorot ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah mampu membandingkan kualiti pasukan mereka dengan Malaysia...apa yang tinggal untuk kita?

Reaksi dan komen penyokong Timor Leste selepas perlawanan tidak ubah seperti kekecewaan yang cuba diselindung setelah pasukan kesayangan mereka tewas.

Namun jika dilihat pada dasarnya, itu harus jadi amaran mereka betapa Timor Leste kini sudah mampu menyaingi Malaysia. Betapa beraninya mereka – negara yang baru 13 tahun mencapai kemerdekaan!

Itu hakikat terpaksa kita terima, betapa serba serbi kelebihan yang kita ada gagal membawa pasukan negara ke tahap yang lebih masuk akal.

"Jadikan kemenangan ke atas Timor Leste ini sebagai 'turning point' untuk menukar landskap bola sepak negara." Itu reaksi Amri Yahyah selepas tamat aksi 90 minit di Stadium Perbandaran Dili.

Ia mungkin komen klise, tetapi jika mampu diterjemahkan dalam bentuk aksi cemerlang di tengah padang, ia mampu jadi pencetus air mata gembira jutaan penyokong negara yang sudah lama kepingin kejayaan lebih tinggi.

Hala tuju skuad negara sudah jauh tersasar daripada landasan, sebenarnya.

Tiada lagi harapan mahu diletakkan pemerhati bola sepak untuk melihat pencapaian skuad Harimau Malaya di peringkat lebih tinggi.

Ketika ini harapan hanya disandar untuk generasi pemain baru - hasrat untuk rakyat Malaysia mahu melihat skuad negara melangkah ke Piala Dunia!