Keharmonian suasana bersama rakan-rakan sepasukan serta peningkatan pasukan di bawah kendalian Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih merupakan antara faktor utama Tim Deavin memilih untuk kekal setahun lagi bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Deavin sudah mengecapi banyak kejayaan di pentas antarabangsa bersama Australia dengan pencapaian terhebatnya ialah menjuarai Piala Dunia 2014 dan meraih pingat perak Sukan Olimpik 2012.

Pemain pertahanan ini juga pernah menjuarai tiga daripada empat edisi Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara pada 2010, 2011 dan 2014.

Saya sempat menemubual Deavin mengenai bagaimana beliau sentiasa dapat mengekalkan kecergasannya pada tahap terbaik walaupun jarang bermain aksi kompetitif sejak bersara daripada pentas antarabangsa dengan 138 kaps antarabangsa tiga tahun lalu.

Apa tidaknya, gaya permainan pemain berusia 34 tahun ini masih hebat dan corak bertahan ditunjukkannya tidak mudah untuk ditembusi mana-mana penyerang pasukan lawan terutama semasa membantu UniKL menjuarai Piala TNB tahun lalu.

“Saya sangat gembira berada di Malaysia kerana selain menikmati perlawanan di sini, saya juga dapat mengenali ramai kawan-kawan yang baik. Kami bersama-sama dapat menaikkan UniKL ke satu tahap berbeza tahun lalu,” kata Deavin.

Kehidupan Deavin di luar padang hoki tetap sibuk walaupun kini tidak lagi bermain aksi kompetitif antarabangsa kerana beliau merupakan seorang usahawan yang memiliki dua kafe di negara kelahirannya, Australia.

Beliau juga pernah bergelar jurulatih merangkap pemain bersama salah satu pasukannya di Perth selain masih sebahagian daripada kelab juara Liga Hoki Australia, Tassie Tigers.

“Saya tidak pernah lupa untuk bersenam, berlari dan melakukan latihan hoki kerana berlatih dan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dilakukan adalah kunci utama kepada sesuatu kejayaan,” kata Deavin.

Bagi Deavin, beliau merasakan dirinya sedang bermain permainan hoki yang terbaik bersama UniKL dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) sejak tahun lalu walaupun sudah tidak lagi berkecimpung dengan persaingan di pentas antarabangsa.