Undian aksi pusingan 16 terakhir saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan play-off Liga Europa telah pun diadakan kelmarin sambil diselitkan dengan beberapa isu melibatkan ketelusan pihak Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang menjadi persoalan.

Perlawanan pusingan 16 terakhir UCL terpaksa ditentukan sebanyak dua kali untuk memuaskan hati semua pihak susulan protes yang disuarakan oleh Atletico Madrid selepas nama Manchester United tiada dalam senarai pasukan yang bakal dihadapi oleh skuad kendalian Diego Simeone itu ketika di proses undian awal.

Namun, selepas undian semula dibuat, beberapa perlawanan dilihat sebagai aksi mega untuk saingan UCL 2021-22 termasuk pertemuan di antara dua kelab paling berpengaruh di dunia ketika ini, Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.

Atletico Madrid lawan Manchester United

Daripada berdepan Neymar, Kylian Mbappe dan Lionel Messi, anak buah Ralf Rangnick akan berdepan cabaran getir kerana Antoine Griezmann, Luis Suarez dan Joao Felix bakal menanti.



Lagenda Blackburn Rovers dan Celtic, Chris Sutton, berpendapat cabaran terbesar Atletico adalah tiada siapa yang dapat menjangkakan cabaran yang bakal ditawarkan United dalam pertemuan itu memandangkan kini The Red Devils sedang menyesuaikan diri dengan pendekatan daripada Rangnick, seperti yang dinyatakan dalam tulisannya di Daily Mail.

Inter Milan lawan Liverpool

Jika Atletico tidak berpuas hati dengan undian awal, peminat Liverpool mungkin tidak begitu gembira selepas proses itu dibuat kali kedua selepas mereka diundi menentang RB Salzburg, sebelum ini.



Selepas terkandas di pusingan 16 terakhir dan suku akhir dalam dua edisi terakhir, Jurgen Klopp tentunya mahu melangkah lebih jauh – atau mungkin mengulangi kejayaan musim 2018-19 – tetapi Inter bimbingan Simone Inzaghi tentunya tidak akan memberikan jalan mudah.

Kali terakhir mara ke suku akhir UCL sekitar 10 tahun lalu dan dikecewakan Sevilla di pentas final Liga Europa ketika musim 2019-20, skuad Nerazzurri pasti mahu memperbaiki rekod di pentas tertinggi Eropah.

Paris Saint-Germain lawan Real Madrid

Tiada siapa mahu melihat Sergio Ramos bakal berdepan bekas majikannya di peringkat awal pusingan kalah mati, namun hakikatnya lagenda Los Blanco situ akan menghadapi lawan yang pernah diwakili selama 16 tahun.



Dalam masa sama, prestasi terbaik yang diraih Karim Benzema dan Vinicius Junior ketika ini akan menjadi taruhan utama Carlo Ancelotti untuk menebus kehampaan terkandas di separuh akhir musim lalu, namun PSG yang masih belum dapat menjulang trofi terunggul Eropah sejak berada di bawah pemilikan Nasser Al-Khelaifi jelas tidak mahu menjadikan pelaburan membawa masuk masuk Messi musim ini sebagai sesuatu yang sia-sia.