Kali ini membabitkan pemain tengah, Faiz Helmi Jali dan penyerang, Rashid Baharom di Liga Jerman.

Kelab yang baru dinaikkan ke divisyen utama, HTC Schwarz Weiss Neuss gagal mendapatkan maklumat sebenar bahawa setiap pemain perlu melaporkan diri pada hari pertama kejohanan.

Ketika itu Faiz dan Rashid masih lagi terikat dengan komitmen dalam Liga Hoki Malaysia.

Mereka sudah dapat lampu hijau pihak pengurusan Schwarz Weiss Neuss untuk datang lewat ke Jerman, namun sebenarnya kelab itu terlepas info penting.

Kesannya, kedua-dua bekas tonggak Skuad Projek 2013 itu diarah pulang ke Malaysia dan tamatlah perguruan mereka dalam Liga Jerman hanya selepas lima perlawanan.

Bukankah hoki Malaysia juga rugi?

Bayangkan jika kedua-dua pemain ini beraksi hingga tamat musim, berjaya memikat kelab lain dan diminta bawa masuk beberapa pemain tempatan ke Jerman - bukankah ia bagus untuk Malaysia?

Beribu-ribu pemain negara lain berharap dapat menyertai Liga Jerman yang dianggap antara terbaik di dunia seperti Liga India, Belanda dan Australia.

Apa yang dikesalkan, ini bukan perkara baru.

Pada 2011, penyerang sensasi negara, Faizal Saari dan pemain tengah, Sukri Mutalib pula diarahkan pulang ke Malaysia kerana masalah visa ketika menyarung jersi Southern Hotshots di Liga Australia.

Mereka hanya sempat beraksi tujuh perlawanan dan Faizal berjaya menjaringkan beberapa gol.

Adakah mereka sendiri menguruskan pemergian ke luar negara tanpa campur tangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)? Apa yang jelas, pemain negara seperti kurang arif mengenai prosedur yang perlu dipatuhi.

Hanya dalam tempoh 4 tahun insiden ini berulang.

Ia pasti berlaku lagi jika KHM atau majikan pemain tidak campur tangan menguruskan pemergian mereka ke luar negara.

Nicolas Cicile, Pablo Javier Trevisan, Ignicio Quilez dan Jose Leandro Tolini bawa pulang cerita hebat ke Argentina selepas membantu Terengganu Hockey Team menjulang dua trofi Liga Hoki Malaysia.

Pemain Malaysia bawa pulang apa?