Layak ke Piala Dunia Bawah 20 tahun di Poland pada 2019? Bawa bersabar peminat bola sepak negara.... ia satu impian terlalu tinggi untuk digalas barisan muda negara dalam Kejohanan AFC Bawah 19 yang berlangsung di Indonesia.

Jangan lupa, skuad negara kendalian Bojan Hodak diundi dalam Kumpulan D bersama dua gergasi Asia, Arab Saudi dan China, selain pasukan dari Asia Tengah, Tajikistan, yang baru-baru ini mencuri perhatian apabila mara ke pentas final Bawah 16 tahun sekaligus layak ke Piala Dunia.

Malah, satu lagi rekod menarik mengenai Tajikistan ialah mereka pasukan yang bertanggungjawab menyingkirkan juara Bawah 23 tahun, Uzbekistan, dalam pusingan kelayakan Kumpulan B.

Memang benar, bola itu bulat dan keajaiban mampu berlaku tetapi sebelum segalanya bermula, jangan meletakkan harapan keterlaluan kelak kecewa di kemudian hari, lantas kritikan tidak berasas pasti timbul kepada bintang-bintang muda negara.

Peminat perlu bersikap realistik keupayaan skuad ini yang rata-ratanya datang dari produk Piala Presiden dan Piala Belia dengan hanya sebahagian kecil ada pengalaman beraksi bersama skuad senior negeri atau kelab masing-masing.

Jangan dilupakan juga dua penyerang negara seperti Zafuan Azeman dan Hadi Fayyadh Abdul Razak bergelut soal kecergasan ekoran masing-masing kurang bermain bersama pasukan mereka wakili di pentas Liga Malaysia atau bersama skuad Piala Presiden, musim ini.

Justeru, daripada aspek kematangan taktikal untuk berdepan pasukan sehebat Arab Saudi atau China, pasti sedikit dibimbangi dan apa yang jadi harapan kita ialah keserasian sesama pemain yang telah terbentuk daripada Kejohanan AFF 2018 mampu jadi nilai tambah kekuatan pasukan.

Kelompok pemain diketuai Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat selain dibantu penjaga gol, Azri Ghani, serta beberapa pemain lain seperti Nurfais Johari dan Zahril Azri Zabri diharap mampu jadi tulang belakang skuad negara.

Kejayaan skuad Bawah 23 layak ke suku akhir pada tahun ini walaupun diletakkan sekumpulan bersama negara dari Asia Barat boleh dijadikan azimat jika pemain mampu bekerja keras dalam setiap perlawanan.

Berdasarkan sejarah, ini pertama kali skuad negara mara ke pusingan akhir selepas kali terakhir pada 2006 di India, jadi pemain-pemain tidak perlu turun dengan tekanan, cuba lakar sesuatu yang dianggap terlalu drastik.

Turunlah bermain seperti biasa dan ikuti segala perancangan jurulatih serta paling penting, kurangkan kesilapan yang boleh buka ruang kepada lawan cipta jaringan mudah.