Setiap jaringan memainkan peranan penting buat Pahang pastikan laluan mereka ke final Piala Malaysia benar-benar berlaku.

Walaupun berjaya mencetak tiga jaringan di laman lawan, namun aksi di Kuantan masih belum cukup selesa buat skuad Tok Gajah.

Ketika kecederaan pangkal paha Norshahrul Idlan Talaha menyaksikan ketiadaan pemain itu dalam aksi separuh akhir pertama di Kedah, ramai menjangkakan pemain tersebut akan mendapat slot mudah dalam aksi di Stadium Darul Makmur.

Nampaknya, ketua jurulatih, Dollah Salleh, mengutamakan pemain yang bertungkus-lumus daripada awal membantu pasukan.

"Jika Matyo mahu berada dalam perancangan saya, dia perlu buktikan kemampuan dalam tempoh seminggu yang ada."

Itu reaksi Dollah sebaik tamat perlawanan pertama yang menyaksikan kedudukan terikat 3-3 di Alor Setar.

Dalam saingan di Stadium Darul Aman tempoh hari, Matyo yang berada bersama pasukan pada awalnya di khabarkan pulang pada hari perlawanan kerana urusan kecemasan.