Pada Disember 2016, kecoh seketika arena bola sepak negara apabila beberapa pasukan yang mempunyai reputasi besar mengancam untuk menarik diri dari saingan liga Malaysia 2017 atas satu faktor utama iaitu kewangan.

Namun, kini semuanya lenyap dan kembali seperti biasa apabila pemain-pemain pasukan yang terlibat menjalani latihan, perlawanan persahabatan dan mengambil pemain import seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Bagi pasukan Kelantan, seperti dijangka oleh beberapa penganalisis sukan yang mengatakan akan muncul hero disaat-saat akhir, ianya ternyata menjadi kenyataan.

Tan Sri Annuar Musa muncul wira apabila syarikatnya bersetuju menjadi penaja utama buat Kelantan bagi musim 2017. Jadi adakah ini bermaksud segala usaha mencari penaja mahupun kutipan derma kilat bagi menyelamatkan pasukan Kelantan hanyalah gimik semata-mata?

Selangor juga menggunakan skrip yang sama. Mengancam menarik diri kerana tiada dana dari kerajaan negeri tetapi apabila digertak penyokong mereka supaya meletakkan jawatan, pandai pula buat kerja dan dikhabarkan sekarang ada 8 syarikat korporat swasta berminat memberikan penajaan kepada pasukan The Red Giants.

Walaupun Selangor banyak menggunakan khidmat pemain belia mereka, namun masih mengekalkan nama-nama besar seperti Andik Vermansyah dan Ugo Ukah untuk saingan musim baru 2017 dan kesemua mereka menjalani latihan seperti biasa.

Ternyata, exco-exco persatuan bola sepak negeri yang terlibat amat gemar menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.

Mereka juga gemar menunggu sehingga saat-saat akhir sebelum membuat keputusan. Mungkin mahu dilihat seperti ‘buat kerja’ di mata peminat dan penyokong, sedangkan mereka lupa bahawa peminat kini sudah cerdik untuk menilai yang mata berlian dan yang mana kaca.