Kali terakhir Tottenham Hotspur melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah adalah lapan tahun lalu sewaktu mereka diperkuatkan oleh nama-nama seperti Jermain Defoe, Gareth Bale dan Luka Modric.

Bagaimanapun, kini mereka hanya selangkah untuk menyamai pencapaian itu susulan kejayaan membenam Borussia Dortmund 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 di Wembley, awal pagi semalam.



Tatkala masalah kecederaan sedang dihadapi Spurs menerusi dua tonggak utama, iaitu Harry Kane dan Dele Alli, serta ketiadaan sebarang pembelian musim ini, skuad yang kini dibimbing Mauricio Pochettino itu masih membuktikan keampuhan memandangkan mereka masih mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Paling menarik sudah pasti kelibat bintang Korea Selatan, Son Heung-min, yang terus cemerlang menyempurnakan setiap peluang bagi memastikan namanya sentiasa berada dalam senarai penjaring gol buat Spurs.

Tidak dinafikan bahawa apabila Kane berdepan masalah di bahagian buku lali dan Alli mengalami kecederaan paha bulan lalu, banyak pihak meragui cabaran yang mampu dihadirkan Spurs di peringkat domestik dan Eropah.



Namun, kepercayaan yang diberikan Pochettino terhadap barisan muda dilihat mula memadamkan kesangsian itu.

Sejak tewas 2-0 di tangan Crystal Palace, 28 Januari lalu, Pochettino tidak gentar untuk terus meletakkan pemain berusia 23 tahun, Harry Winks, selaku nadi di bahagian tengah untuk digandingkan bersama Moussa Sissoko sehingga membolehkan Spurs meraih empat kemenangan berturut-turut.

Malah, walaupun mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat Victor Wanyama, Pochettino tidak teragak-agak untuk menurunkan pemain berusia 18 tahun, Oliver Skipp, dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Leicester City 3-1 di laman sendiri Ahad lalu.



Apa yang boleh dilihat, Pochettino ternyata sudah bersedia dengan apa jua kemungkinan walaupun pihak kelab bertegas dengan keputusan untuk tidak membawa masuk pemain baru musim ini.

Berada di tangga ketiga berbekalkan perbezaan lima mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, serta selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara, Spurs masih kekal selaku pencabar utama bola sepak moden di England serta Eropah.

Cuma, bila waktu untuk mereka menjulang trofi utama? Hanya masa menentukannya.