"You from Astro?..Want interview?..Three hundred US Dollars"...Itulah gurauan kerap bekas pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez, tiap kali penulis ditugaskan ke Johor Bharu sepanjang saingan Liga M musim lalu.

Kini tiada lagi seloroh Gomez di Padang Seri Gelam, selepas Presiden Kelab JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, menerusi laman sosial kelab itu mengumumkan jurulatih itu dan JDT memilih membawa haluan masing- masing pada Rabu.

Ia pasti pendekatan mengejutkan buat peminat setia JDT, apatah lagi hanya tinggal beberapa hari sebelum kelab itu berdepan Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih di Larkin untuk aksi pembuka tirai musim ini.

Penulis tidaklah begitu akrab dengan Gomez, tetapi penulis akui dia seorang yang mudah didekati dan kerap memberi kerjasama baik ketika penulis membuat liputan.

Namun, ketika membuat liputan buat Nadi Arena menjelang final Piala AFC di Dushanbe pada 2015, penulis berpeluang mengenali Gomez lebih dekat.

Gomez mempunyai pengalaman luas mengendalikan beberapa kelab utama di Argentina, Sepanyol dan beberapa negara lain serta pernah menjadi penolong pengurus kepada Hector Cuper di Valencia dan Inter Milan dari 1999 hingga 2003.

Beliau pernah mengendalikan pemain berkelas dunia seperti Hernan Crespo, Ariel Ortega, Javier Zanetti dan Gaizka Mendieta.

Gomez tampak disenangi kesemua pemain, walaupun dia amat tekankan aspek disiplin ketika latihan dan perlawanan.

Penulis difahankam, dia mungkin akrab dengan pemain tetapi tiada kompromi dalam soal disiplin, pemain yang lewat ke latihan akan didenda.

Penekanan terhadap disiplin juga membolehkan Gomez meraih lima kejuaraan termasuk Piala AFC selama dua musim dia bersama JDT.

Disiplin juga membolehkan jurulatih kelahiran Argentina ini, mengendalikan barisan JDT yang dibarisi pemain tempatan dan import terbaik Liga M.

Kadangkala ia memerlukan jurulatih yang mempunyai karisma untuk menangani ego pemain, dalam usaha membentuk barisan ampuh.

Nama Gomez akan kekal dalam sejarah bola sepak negara, sebagai jurulatih pertama meraih kejuaraan Piala AFC bersama sebuah pasukan Liga M.

Penulis berasa ia satu tindakan drastik daripada pucuk pimpinan JDT untuk meleraikan ikatan dengan Gomez sebelum saingan musim ini bermula.

Namun, ini bukan kali pertama penukaran jurulatih berlaku di kelab ini sejak 2013 dan JDT memang dikenali sebagai pasukan yang tidak gentar melakukan perubahan.

Kini, pengendali JDTII Benjamin Mora diberi kepercayaan selaku pengendali JDT dan sudah pasti harapan besar diletakkan ke bahu jurulatih muda dari Mexico ini.

Mora mungkin perlu segera memenangi rasa hormat pemain dalam skuad JDT terlebih dulu, sebelum memburu kemenangan pertama buat kelab itu.

Terima kasih Gomez kerana mewarnai saingan Liga M selama dua musim dan kini giliran Mora pula untuk meneruskan dominasi Harimau Selatan dalam saingan Liga M.