Berakhir Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 bermakna ia kali terakhir peminat dapat menyaksikan kelibat bintang sukan negara.

Antara yang sudah mengumumkan tidak akan beraksi lagi, juara keirin dunia, Azizulhasni Awang.

Dia membuat penampilan kedua temasya selepas 2007 dan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, tiada siapa mampu mencabar Azizul.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini tiada masalah merangkul emas acara pecut dan keirin.

Lebih menarik, kedua-dua kejayaan itu diiringi pelumba muda negara selaku pemenang perak iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk pecut sementara Mohamad Shariz Afendi Mohd Shahrin, keirin.

"Saya lega kerana Malaysia memiliki pelumba muda yang hebat. Jika saya meninggalkan Sukan Sea, saya yakin mereka mampu meneruskan legasi pelumba senior.

"Jadi, saya kekal dengan pendirian bahawa ini Sukan Sea terakhir dan saya akan fokus untuk buru pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Azizul.

Saya setuju dengan keputusan itu kerana keutamaan Sukan Sea patut diberikan kepada atlit muda.

Ia pentas pertama mereka membina reputasi dan keyakinan sebelum menyertai kelompok atlit senior dengan perjalanan karier puluhan tahun di depan mata.

Selain basikal, beberapa sukan lain juga menunjukkan bayangan sama.

Kejayaan penerjun, Gabriel Gilbert Daim rangkul emas dalam berpasukan bergandingan bersama Pandelela Rinong cukup melegakan.

Begitu juga dengan Khairul Hafiz Jantan bergelar Raja Pecut Asia Tenggara dalam 100m olahraga.

Mereka masih muda tetapi mampu menggantikan atlit senior.

Dalam hal ini saya juga berharap ratu trek negara, Fatehah Mustapa ambil pendekatan sama kerana Farina Shawati Mohd Adnan membuktikan dia mampu jadi pengganti apabila raih perak pecut dan keirin.

Walaupun Fatehah belum buat keputusan, namun ketua jurulatih basikal negara, John Beasley sudah mengumumkan Azizul dan Fatehah tidak akan beraksi lagi di Sukan Sea.

Biarlah temasya berikutnya melahirkan lebih ramai Azizul, Fatehah, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Pandelela Rinong atau Mohd Al Jufferi Jamari.

Segalanya terpulang kepada diri masing-masing. Jika masih mahu terus mendominasi temasya ini, teruskan, tiada siapa menghalang.

Terima kasih kerana menggembirakan rakyat Malaysia, bintang sukan negara!