THT menewaskan UniKL 4-0 dalam separuh akhir kedua Piala TNB Liga Hoki Malaysia 2017 untuk layak ke perlawanan akhir dengan agregat 8-4. Dalam separuh akhir pertama, mereka dikejutkan apabila UniKL berjaya mengikat mereka 4-4.

Berlainan THT dalam separuh akhir kedua apabila bermain cara taktikal yang cemerlang dengan mengawal dengan baik tempo permainan dan tidak memberikan banyak ruang buat UniKL. Penyudahan yang klinikal juga memberikan mereka kelebihan.

THT akan bertemu KLHC dalam perlawanan akhir malam ini. Pertemuan ini boleh diklasifikasikan sebagai "Clash of the Titans".
KLHC yang telah merampas gelaran juara liga dari THT musim ini pula dipaksa berhempas-pulas oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila keluar sebagai pemenang menerusi penentuan pukulan penalti 2-1.

THT akan turun dalam perlawanan akhir tanpa maestro mereka, Valentin Verga. Pemain yang dilahirkan di Buenos Aires, Argentina dan dibesarkan di Belanda ini adalah antara pemain tonggak import THT musim ini selain Jang Jongyun (Korea Selatan) Shakeer Butt dan Mohammad Irfan (Pakistan) dan Pablo Xavier (Argentina).

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012 serta Hoki Piala Dunia di The Hague bersama pasukan kebangsaan Belanda ini telah kembali ke tanahairnya selepas separuh akhir kedua untuk mewakili Amsterdam HC bagi menyertai Liga Hoki Belanda yang bermula hari ini.

Walaupun THT sarat dengan pemain pemain kebangsaan seperti Fitri Saari, Firhan Ashaari, Tengku Ahmad Tajuddin, Faisal Saari serta beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Azlan Misron, Shaarun Nabil serta import yang cemerlang, Verga adalah antara komponen yang melengkapkan THT musim ini. Lebih Lebih lagi, Faisal yang belum lagi pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Ketiadaannya juga akan memaksa Sarjit Singh untuk tidak dapat merehatkan ketika perlu (rolling substitution) Fitri, Firhan dan Tengku Ahmad Tajuddin dalam perlawanan itu nanti.

Kepemimpinan Verga dalam memberi semangat dan mengawal tempo permainan juga akan dirindui oleh THT nanti.

Ketiadaan Verga dan faktor-faktor di atas pasti memberikan sedikit kelebihan kepada KLHC.

KLHC mempunyai skuad yang seimbang. Melihat pemain-pemain simpanan yang mereka ada, memberi pilihan yang luas buat Harun Al Rashid melakukan "rolling subsitution" yang lebih efisien bagi memberi rehat kepada pemain utama seketika semasa perlawanan.
Ketangkasan penjaga gol, Roslan Jamaluddin, dan benteng pertahanan yang mantap, diketuai oleh Razie Rahim di samping Shukri Mutalib, Izad Hakimi dan Mohd Nor Faeez sudah pasti mengukuhkan barisan belakang KLHC.

THT saya jangkakan akan mengharapkan Jang Jongyun menerusi pukulan sudut penaltinya yang setakat ini telah meledakkan 25 gol.

Taktikal yang berkesan juga diperlukan Sarjit Singh dan Paul Lissek bagi mengatur pemain-pemain yang mereka ada dan menukar kelemahan menjadi kekuatan mereka.

Jika tidak, saya menjangkakan KLHC akan berjaya menjuarai Piala TNB bagi melengkapkan kejuaraan ‘treble’ mereka setelah memenangi Piala Sumbangsih dan kejuraan liga sebelum ini.

Apapun, pasti buat peminat peminat hoki negara adalah satu perlawanan akhir yang sengit menanti anda.

All the best kepada THT dan KLHC!