Kejayaan Terengganu Hockey Team (THT) memenangi perlawanan akhir Piala TNB dengan menewaskan Sapura 3-0, melengkapkan hatrik THT keluar sebagai juara berganda yang sebelum ini mereka menangi pada 2014 dan 2015.

Kini, mereka menyamai rekod juara berganda tiga kali berturut-turut yang telah dilakukan oleh KL Hockey Club (KLHC). KLHC telah melakukannya pada tahun 2011, 2012 dan 2013.

Rekod pasukan paling banyak memenangi piala keseluruhan tetap dipegang ketika ini oleh KLHC, di mana mereka memenangi sebanyak lapan kali setakat ini. Ini termasuk nama lain yang mereka gunakan sebelum ini seperti Arthur Anderson dan Ernst & Young.

Jelas, tiga tahun kebelakangan ini, THT telah merampas gelaran pasukan hoki terbaik di Malaysia daripada KLHC.

Bermula pada tahun 2012, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said, yang ingin memberikan perhatian buat Pasukan Hoki Terengganu. 2012, tahun pertama mereka menyertai Liga Hoki Malaysia, pada tahun tersebut mereka gagal memenangi sebarang kejuaraan walaupun mereka membawa masuk ramai pemain-pemain kebangsaan seperti Azlan Misron, Shahrun Nabil, Tengku Ahmad, Firhan Ashaari, Jivan Mohan, ismail Abu, Fitri dan Faizal Saari.

Tahun seterusnya, keputusan tepat diambil oleh pihak pengurusan THT apabila mengambil Sarjit Singh sebagai jurulatih pasukan. Sarjit pula dengan pengalaman sebagai bekas ketua pasukan dan jurulatih negara suatu masa dulu mengambil beberapa langkah antaranya mengambil beberapa pemain impot yang berkualiti dari Korea, Argentina dan Pakistan untuk memperkuatkan pasukan. Beliau juga berjaya mencipta kombinasi terbaik menerusi pemain tempatan dan import ini.

Ramuan Sarjit jelas berjaya dengan merangkul juara berganda pada tahun pertama beliau sebagai jurulatih serta berjaya mempertahankan kejuaraan berganda sehingga musim 2016 ini.

Apa yang perlu ditambah baik di musim hadapan adalah menerapkan tenaga muda berkualiti dalam THT. Terutamanya untuk jangka masa panjang yang pasti di bahagian pertahanan yang sekarang ini dibarisi pemain veteran seperti Azlan Misron, Shahrun Nabil dan Baljit Singh. Setahun dua lagi, saya pasti mereka ini tidak berupaya memberi aksi seperti sekarang lebih-lebih lagi mereka ini tidak berada dalam skuad kebangsaan lagi.

Ini termasuk pemain veteran lain seperti Jivan, Jiva Mohan, Ismail Abu dan Tengku Ahmad Tajuddin.

Mereka juga harus tekankan pada pasukan pembangunan menerusi Liga Hoki Remaja Malaysia bawah 19 tahun. Berikan keutamaan kepada pemain kelahiran Terengganu supaya suatu hari nanti THT akan dibarisi 80% sekurang-kurangnya anak anak tempatan Negeri Terengganu, berbanding ketika ini hanya 40% sahaja anak jati Terengganu.

Seperti yang semua sedia maklum bahawa THT adalah pasukan yang mempunyai bajet yang tertinggi berbanding pasukan lain di Liga Hoki Malaysia. Saya pasti dengan kejayaan semalam kerajaan negeri pasti mengekalkan bajet atau akan menambah bajet untuk musim akan datang. Ini membuatkan pasukan lain sukar menandingi mereka terutamanya dalam mendapatkan pemain pemain terbaik, baik tempatan mahu pun pemain impot.

Pendapat saya, musim 2016 ini bukanlah semudah berbanding dua musim yang lepas bagi THT. Kekalahan mengejut KLHC di tangan TNB di pusingan peringkat liga memberikan nafas baru kepada mereka untuk menjuarai liga. Penjaring terbanyak mereka juga adalah pemain impot dari Korea, Jang Junghwon, yang telah menjaringkan 17 gol. Adakah mereka akan mendapat pemain itu di musim hadapan, ia masih menjadi tanda tanya.

Mereka harus berhati-hati di musim hadapan dan mereka harus belajar beberapa perkara musim ini supaya dapat meneruskan kecermelangan berterusan.

Apa pun, saya memuji sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu yang membantu dari segi kewangan untuk membolehkan mereka mencipta "branding" baru untuk Negeri Terengganu menerusi Terengganu Hoki Team ini.

Saya sangat berharap agar kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah Terengganu. Hoki bukan macam bola sepak yang memerlukan sekurang-kurangnya berbelas juta tetapi dua atau tiga juta sudah boleh mempunyai pasukan yang boleh mengejar kejuaraan.

Akhir sekali, syabas, syabas dan syabas kepada Terengganu Hoki Team!