Pasukan Kedah dilihat sering menjadi platform terbaik buat pemain import mencipta nama.

Mungkin ia berlaku secara kebetulan tetapi nama-nama seperti Andre Luis Nascimento, Carlos Roberio dan Nelson Sam Martin masih meniti di bibir peminat sehingga kini.

Tidak keterlaluan jika mereka ini dilabel antara pemain import berjaya dalam kancah Liga Malaysia berdasarkan persembahan masing-masing.

Ketika era 90an, penulis cukup menggemari Nascimento. Dengan stail rambut kerinting, penyerang dari Brazil itu turut miliki karakter tersendiri di atas padang.

Pemain berjersi nombor 9 itu seorang pemain yang mempunyai skil yang tinggi selain kerap melakukan gol-gol menarik ketika beraksi.

Antara sumbangan Nascimento ketika berkhidmat bersama Kedah yang sebelum ini digelar skuad Kenari adalah menjuarai Piala FA pada 1996.

Ternyata, Kedah ibarat Brazil Malaysia. Pasukan ini dengan pemain Brazil berpisah tiada.

Selepas bersilih ganti menukar pemain import, Kedah yang kini dikenali sebagai skuad Lang Merah masih mempertaruhkan pemain asing dari negara Amerika Selatan itu.

Thiago Augusto Fernandes, siapa tidak mengenali pemain ini ketika ini. Tindakan Kedah meminjam Thiago dari Felda United satu keputusan tepat kerana memberi pulangan lumayan.

Boleh dianggap masih muda, pemain berusia 26 tahun dari Brazil itu jelas menjadi nadi kecemerlangan skuad Hijau Kuning dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kecederaan yang dialaminya pada awal musim bukan halangan untuk mempamer kebangkitan semula menerusi jaringan berterusan dan terbaru satu gol ketika menewaskan PDRM 2-1.

Jelas, legasi 'Samba' yang ditinggalkan Nascimento tidak berkubur apabila ia kini diwarisi oleh Thiago untuk perjuangannya membantu Kedah merangkul Piala Malaysia musim ini.