Sebelum ini, Indonesia dan juga Australia tampak menjadi destinasi pilihan, tetapi dengan kejatuhan mata wang ringgit kini Thailand tampak destinasi paling sesuai.

Johor Darul Takzim (JDT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah yang terawal mengatur persiapan di negara itu manakala Pahang dan juga Selangor dijangka akan mengikut langkah dua pasukan itu bagi menguji barisan baru masing-masing.

JDT memilih Thailand, kerana mahu menguji keupayaan kelab Liga Perdana Thailand (TPL) sebelum berdepan kelab berpangkalan di Bangkok, Muangthong United pada saingan playoff Liga Juara-juara AFC bulan depan.

Kelab selatan tanah air itu juga dijangka memperluaskan hubungan dengan kelab-kelab gergasi Thailand, selepas turut mewujudkan kerjasama dua hala dengan gergasi Jerman, Borrusia Dortmund sebelum ini.

Bagi penulis, ia adalah satu perkembangan positif apabila pasukan utama dalam saingan Liga Super memilih Thailand sebagai destinasi pra musim.

Ia kerana TPL ketika ini adalah saingan liga terbaik di rantau ini dan ia turut diperakui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

TPL juga mempunyai satu slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC buat juara liga dan satu lagi slot play off ke saingan elit Asia itu buat juara Piala FA Thailand.

Dalam tugasan ke Thailand sebelum ini, penulis juga pernah menyaksikan sendiri kemudahan dan infrastruktur yang dimiliki kelab-kelab gergasi TPL seperti Chonburi dan Muangthong yang boleh penulis katakan bertaraf Asia.

Penulis berharap kunjungan pasukan-pasukan Liga Super ke Thailand dapat membuka mata kepada pihak pengurusan mempelajari pengurusan profesional yang diterapkan kelab-kelab TPL.

Selain prasarana yang baik, kelab-kelab utama TPL turut mempunyai pembangunan akar umbi berkesan yang membolehkan Thailand mendominasi saingan AFF dari peringkat bawah 16 tahun hingga ke senior.

Harapan penulis adalah untuk satu hari menyaksikan ada pemain tempatan terbaik kita mengembangkan karier ke Thailand.

Dengan kedudukan ranking ke-171 dunia kini, mungkin tidak salah buat penulis sarankan kepada pemain-pemain tempatan terbaik kita untuk lupakan seketika cita-cita ke Eropah.

Saingan TPL adalah destinasi lebih realistik buat pemain-pemain kita jadikan destinasi pertama di luar sempadan Liga Malaysia, sebelum ke liga negara Asia yang lebih kompetitif seperti Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Australia.