Sekali lagi Malaysia diaibkan dibumi Jordan iaitu gelanggang berkecuali yang dibenarkan FIFA setelah permohonan FAM diluluskan.

Kenapa Malaysia tidak mengambil kesempatan apabila bermain digelanggang berkecuali yang banyak memberi kelebihan kepada pasukan negara itu kerana tidak ada gangguan dari psikologi terutama dari aspek keselamatan pemain sebagaimana yang ditakuti oleh Ong Kim Swee dan pemain-pemainnya.

Itulah persoalan yang timbul difikiran setelah Malaysia diratah dengan mudah oleh pemain-pemain muda Palastin. Apakah faktor cuaca yang sejuk atau sikap pemain mengambil mudah atas kelebihan yang dimiliki mereka apabila Palastin dikatakan keletihan setelah mengharungi satu perlawanan terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pasukan negara.

Namun hakikatnya setelah keputusan diketahui sebenarnya bola sepak kita jauh ketinggalan dengan pasukan asia timur apatah lagi diperingkat asia. Ini tidak boleh dilindungi lagi FAM dan persatuan negeri perlu menerima kenyataan dengan permasalahan ini. Mereka-mereka di dalam pentadbiran badan induk bola sepak negara perlu bertindak pantas membentangkan idea-idea bernas tentang perancangan jangka masa pendik dan panjang demi kemajuan bola sepak negara.

Tidak ada cara lain selain perlu duduk semeja dengan semua ahli gabungan mencari jalan penyelesaian dan kerjasama daripada semua demi kemajuan bola sepak negara. Bukan masa menunding jari kepada sesiapa di atas kegagalan ini. Perlu lebih efektif dalam menggerakkan setiap perancangan serta mencari punca kegagalannya.

Adakah ia berpunca daripada sikap dan budaya serta mentaliti masyarakat Malaysia? Sekiranya benar, apakah kaedah terbaik untuk menyedarkan mereka supaya dapat membantu dalam memajukan bola sepak negara. Ini yang perlu dilakukan kajian oleh FAM, dimana pihak pengurusan perlulah berkerjasama dengan universiti-universiti tempatan untuk mencari puncanya dan bagaimana penyelesaian terbaik dapat dilakukan dalam membantu memajukan bola sepak negara.

Perubahan minda dan berfikiran positif perlu bermula dari sekarang kerana kita perlu yakin dengan kemampuan bakat-bakat anak-anak Malaysia untuk membawa kejayaan kepada bola sepak negara cuma ia memerlukan formula dan pengorbanan dari semua. Tidak perlu mengaku kalah dan negatif dengan kemerosotan bola sepak negara, kita perlu terus berjuang untuk merealisasikannya.