Sehingga hari ini, ramai yang tertanya-tanya kandungan pemacu simpanan yang disampaikan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya didakwa oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengandungi maklumat penyelewengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Memandangkan SPRM sudah menutup kertas siasatan, adalah jelas kandungannya lebih bersifat teknikal.

Jadi, bukan bidang kuasa SPRM mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menentukan sama ada wujud salah laku atau tidak dalam melaksanakan tugas-tugas teknikal.

Seperti yang penulis dedahkan dalam Nadi Arena baru-baru ini, kandungannya terkandung dalam laporan teknikal yang dibincangkan oleh jawatankuasa petugas FAM yang ditubuhkan susulan kekalahan mengaibkan 10-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu tahun lalu.

Penulis juga percaya kandungan itu memperincikan satu agenda nasional yang menuntut kerjasama semua pihak – daripada KBS, Kementerian Pelajaran dan persatuan daerah serta negeri.

Malangnya, laporan ini tidak disiarkan dalam laman web FAM. Juga tidak pernah disiarkan oleh mana-mana akhbar atau stesen televisyen arus perdana.

Maklumatnya tersangkut di koridor kuasa FAM. Kononnya atas alasan ia perlu mendapat persetujuan jawatankuasa eksekutif FAM.

Soalnya sekarang, FAM dipercayai sedang menugaskan seorang pegawai berpengalaman untuk mencari 'petualang' yang membocorkan maklumat kepada TMJ. Ini adalah kerja sia-sia.

Sebab itu, wajar jika FAM menyiarkan kandungan dan laporan itu untuk dihakimi orang awam.

Jika ketelusan ini diamalkan, masyarakat akan:

1. Menilai sendiri sama ada berlaku sebarang salah laku;

2. Menilai sama ada pembocor maklumat harus dikenakan hukuman;

3. Menilai sama ada yang mendakwa berlaku penyelewengan itu boleh dipertikai kewibawaannya atau tidak;

4. Menyedari beberapa perkara asas yang harus dilakukan semua pihak dalam membangunkan sukan bola sepak; dan

5. Menyedari betapa besarnya skop untuk memastikan akar umbi dibangunkan dengan betul, telus dan profesional.

Seperti juga yang ditekankan oleh penulis dalam Nadi Arena, tindakan SPRM mendapati tiada sebab untuk meneruskan siasatan, tidak boleh menyembunyikan hakikat bahawa banyak lagi ruang penambahbaikan dari segi semua aspek perjalanan dan hala tuju FAM.

Yang penting, FAM harus sedar niat sebenar pemberi maklumat itu menyerahkan pemacu simpanan kepada TMJ.

Apakah ia bertujuan memburukkan FAM atau sekadar berkongsi maklumat kerja-kerja yang sedang dilakukan dalam urusetia persatuan itu?

Apakah kandungan itu dimanipulasi untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu?

Jika FAM telus dan jujur, badan itu tidak perlu mengambil sebarang tindakan, sebaliknya menerima hakikat bahawa beberapa perkara penting tidak boleh diperam dan harus diberi publisiti meluas agar masyarakat memahami apa yang perlu dilakukan supaya bola sepak negara diletakkan di landasan betul.

Keputusan ini harus mencerminkan pengorbanan yang tinggi pihak urusetia FAM sempena Hari Raya Korban.

Selamat menyambut Aidiladha!