Usain Bolt sekadar dapat melihat Justin Gatlin meranapkan pengakhiran impiannya di Stadium London malam kelmarin dalam perlumbaan akhir 100 meter Kejohanan Dunia, namun ia tidak menghalangnya daripada mengisytiharkan dia telah membuktikan dirinya “antara yang terhebat”.

Harus ia satu igauan untuk Bolt menamatkan karier gemilangnya dengan kekalahan kepada Justin Gatlin, yang rata-rata belum dimaafkan ramai sebagai ‘penipu’ gara-gara dua kali digantung kerana kesalahan doping.

Lebih perit, dia terpaksa merelakan penyudahan satu-dua pesaingnya dari Amerika Syarikat, dengan Gatlin (9.92s) dan Christian Coleman (9.94s) di tengah-tengah pekikan “boo” sebahagian besar daripada 56,000 penonton yang mengharapkan Bolt mengucapkan selamat tinggal dengan kalungan pingat emas di lehernya.

Petanda kekalahannya sudah pun dibayangkan dalam saringan separuh akhir lagi pada sebelah siangnya apabila dia membenarkan Coleman memintasnya disebabkan permulaan buruk – kekalahan pertamanya dalam sebarang perlumbaan 100 meter sejak kali terakhir tewas kepada Gatlin pada 2013.

Juara Olimpik lapan kali dan juara dunia 11 kali itu, bagaimanapun, bertegas bahawa dia berundur tanpa sebarang sesalan.

“Saya telah membuktikan kepada dunia saya salah seorang atlet terhebat. Saya tidak fikir malam ini (kelmarin) mengubah apa-apa,” katanya seperti dipetik oleh akhbar Britain, The Telegraph.

“Saya telah melakukan bahagian saya sebagai seorang atlet, untuk menaikkan sukan ini dan menunjukkan ia bertambah baik.”

Mengenai legasi yang ditinggalkannya pula, Bolt mengungkapkan: “Selepas segala apa yang saya lakukan, anda semua harus putuskan apakah maknanya saya kepada sukan ini.

“Saya fikir saya sudah menunjukkan selama bertahun-tahun bahawa saya adalah unik. Saya melakukan perkara-perkara dengan berbeza. Saya tidak fikir akan ada seorang atlet lain seperti saya.”

Menolak keras sebarang perubahan pendiriannya untuk bersara selepas acara 4x100 meter untuk Jamaica, Sabtu depan, Bolt menyalahkan permulaan buruknya hingga membawa kepada kekalahannya malam kelmarin.

“Permulaan (buruk) saya benar-benar membunuh saya. Lazimnya ia bertambah baik selepas peringkat saringan tapi kali ini ia langsung tidak menjadi. Dan itulah yang sebenarnya membunuh saya,” tegasnya.

Ternyata, ia permulaan yang buruk dengan masa reaksinya tercatat sebagai 0.183 saat – yang paling perlahan dalam kalangan lapan pelumba akhir – dan 0.05 saat lebih lewat daripada Gatlin.

Catatan akhirnya, 9.95 saat, adalah masa paling perlahannya dalam final 100 meter daripada tujuh saingan Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Malah, jika disorot, Bolt sebenarnya sudah semakin perlahan sejak 2012 hingga akhirnya, seseorang atau dua orang dengan lebih tepat, dapat memintasnya.

"Terima kasih di atas segala sokongan. Saya tidak dapat jangkakan ini daripada kumpulan penonton yang berbeza. Merekalah yang mengerah saya melakukan yang terbaik.

“Ia hanyalah salah perkara yang terjadi. Terima kasih London di atas kasih-sayang dan penghargaan anda. Saya mohon maaf saya tidak dapat memenangi perlumbaan akhir ini seperti yang saya inginkan.”

Kesudahannya, 2017 adalah tahun yang sukar buat Bolt.

Rakan karibnya, Germaine Mason, pemenang pingat perak acara lompat tinggi Sukan Olimpik 2008, terbunuh dalam kemalangan 20 motosikal pada awal pagi 20 April lalu, yang menyaksikan Bolt bermurung dan tidak berlatih selama tiga minggu.

Dua bulan kemudian, dia gagal mencatat masa di bawah 10 saat dalam dua final berturut-turut buat kali pertama.

Kelmarin pula, Bolt ditewaskan dalam satu perlumbaan 100 meter buat kali pertama dalam tempoh empat tahun – bukan sekali tapi dua kali.

“Anda tidak boleh memenangi segala-galanya,” kata Bolt yang tidak pun digenangi air mata ketika ditemubual wartawan NBC, Lewis Johnson, sejurus selepas perlumbaan 100 meter individu terakhirnya.

“Tubuh saya memberitahu saya ia masanya untuk bersara. Setiap pagi apabila saya bangun tidur, saya berasa sakit di sana-sini.”

Bolt mungkin tewas di Stadium London kelmarin tapi sorakan "Usain Bolt! Usain Bolt!" ketika dia membuat pusingan larian selamat tinggal harus mengingatkannya dia kekal seorang pemenang di hati mereka.