Saya akur sedikit terkejut dengan peletakan jawatan Pengarah Teknikal Badminton Negara, Morten Frost.

Bukan terkejut dengan hakikat dia mengangkat kaki daripada Persatuan Badminton Malysia (BAM) tetapi waktu dia mengambil pendekatan ini.

Frost sepatutnya berkhidmat bersama skuad negara sehingga kitaran Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Segalanya nampak begitu memberangsangkan buat skuad negara pada 2016 terutama kejayaan di pentas Olimpik Rio.

Tetapi mengenali Frost yang memiliki perwatakan unik sebagai seorang legenda, pasti ada beberapa insiden pada tahun ini yang mencalar egonya.

Imbas kembali Februari lalu apabila berlaku perselisihan faham besar antara Frost dan ikon perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Malah pada waktu itu terbit sentimen hanya satu individu yang boleh wujud di BAM, sama ada Frost atau Chong Wei.

Di sebalik keputusan hambar daripada skuad negara secara keseluruhan musim ini, satu lagi tamparan hebat kepada kredibiliti Frost sebagai perancang utama negara adalah kembalinya Datuk Misbun Sidek.

Julai lalu, Misbun diberi mandat mengetuai program perseorangan lelaki tetapi dengan syarat dia melapor terus kepada Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Realitinya ini bukan kali pertama dan pasti bukan kali terakhir badminton Malaysia kehilangan khidmat individu berpengaruh.

Juga sudah terbukti, sukan tradisi ini memiliki keupayaan untuk bangkit dan mencapai kejayaan lebih besar.

Adakah saya masih terkejut? Tidak, hanya mampu tersenyum dengan badminton negara yang tidak pernah lekang daripada cerita kontroversi dan kejayaan menakjubkan.