Bagaimana agaknya huraian terbaik untuk menggambarkan penyerang sensasi bernama Romelu Lukaku?

Sejujurnya, jawapan yang tepat berubah-ubah, bergantung kepada tahun manakah soalan itu ditanyakan.

Pada usia semuda 16 tahun, Lukaku memulakan kerjaya di negara kelahirannya, Belgium, bersama kelab Anderlecht dan meraih gelaran penyerang muda berbakat besar, menjaringkan sebanyak 39 gol dalam dua musim.

Bakatnya dihidu oleh Chelsea pada 2011, lantas dia dibawa masuk untuk beraksi bersama kelab London itu dan memaparkan aksi 'man of the match' dalam perlawanan sulungnya menentang Blackburn Rovers, setahun kemudian.

Permulaan mantap itu tidak berjaya dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan berikutnya, menyebabkan dia dipinjamkan ke West Bromwich dan Everton pada tahun-tahun mendatang.

Pada usia 21 hinggalah 26 tahun, usia yang boleh dianggap paling cergas untuk seorang atlet, Lukaku menaburkan bakti bersama Everton dan menjaringkan sebanyak 87 gol secara keseluruhan.

Di saat itu, nama Lukaku bersinar terang sehingga dia tercalon dalam senarai Pasukan Tahunan Persatuan Bolasepak Profesional serta Pemain Muda Tahunan Persatuan Bolasepak Profesional pada 2017.

Musim berikutnya menyaksikan Lukaku menyertai Manchester United, di mana dia memecahkan rekod peribadinya untuk menjaringkan sebanyak 27 gol dalam satu musim, sebelum tragedi melanda pada musim berikutnya.

Pada musim 2018-2019, dia mengharungi kemarau gol sepanjang 12 perlawanan dan akhirnya diketepikan oleh pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

Lukaku mengakhiri musim terakhirnya bersama United dengan catatan 15 gol sahaja.

Perjalanan Lukaku bersambung di Itali, di mana penghijrahannya ke kelab Inter Milan sekali lagi kembali melonjakkan namanya sebagai penyerang berbisa.

Lukaku menjaringkan 64 gol dalam tempoh dua musim untuk menobatkan Inter sebagai juara Serie A, tetapi akhirnya terpaksa dijual ke Chelsea pada musim ini gara-gara krisis kewangan yang melanda kelab Itali itu.




Harga setinggi £97.5 juta (RM525 juta) dilaburkan oleh Chelsea dengan harapan agar Lukaku mampu menyumbangkan gol demi gol dan membawa mereka ke takhta juara.

Malang sekali, wang sebanyak itu hanya menyumbang kepada satu tragedi.

Pada siapa agaknya harus ditanyakan tentang apa yang terjadi terhadap Lukaku pada musim ini?

Dalam satu artikel terbitan laman sesawang fourfourtwo.com, prestasi hambarnya disandarkan kepada empat faktor utama -- ketidakserasian taktikal, masalah kecederaan dan kesihatan, tidak gembira di London serta masalah keyakinan diri.

Lukaku sememangnya sedikit malang kerana dilanda masalah kecederaan pada awal musim, diikuti oleh jangkitan COVID-19.

Tetapi jika ditanyakan kepada rata-rata penyokong dan pihak media, kesilapan terbesarnya berpunca daripada temu bual penuh kontroversi bersama Sky Sports Italia, di mana tanpa segan silu dia menyatakan ketidakserasian dengan sistem taktikal yang digunakan oleh pengurus, Thomas Tuchel, serta mengakui ingin kembali ke Inter Milan sebelum usianya menjelang tua.





Di sebalik segala kehambaran musim ini, setidak-tidaknya harapan Lukaku itu akhirnya dimakbulkan.

Laporan akhbar The Athletic menyatakan bahawa Chelsea telah bersetuju untuk meminjamkan Lukaku kembali ke Inter, dengan bayaran serendah £6.8 juta (RM36 juta) sahaja.

Dalam tempoh satu musim, nilai Lukaku susut sebanyak RM489 juta!

Begitulah adat naik-turun 'roller-coaster' dunia bola sepak.

'Roller-coaster' jugalah huraian terbaik untuk menggambarkan Lukaku, menjawab soalan yang ditanyakan pada awal artikel ini.

Pada usia 29 tahun ketika ini, kerjaya Lukaku seharusnya masih berbaki sekurang-kurang tiga atau empat tahun lagi sebelum merudum secara fizikal, seperti yang kebiasaannya terjadi terhadap seorang atlet.

Cukup menarik untuk disaksikan sama ada mampukah dia kembali menaikkan namanya sekali lagi setelah apa yang terjadi.