Dia memang layak dihargai atas pengorbanan mewakili Malaysia selama 17 tahun (sejak Sukan Komanwel 1998) hingga muncul pemain paling banyak kap dalam sejarah.

Azlan mencatat 349 kap dan ia rekod yang susah dicabar pemain sedia ada.

Tiada pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini mencapai 400 kap dan saya jangka, rekod ini akan kekal untuk tempoh sedekad.

"Cukuplah. Saya pun sudah tua (34 tahun), sudah tidak larat untuk kejar bola," kata bekas kapten kebangsaan ini.

Tapi saya percaya, keputusan ini dibuat selepas Malaysia gagal ke Sukan Olimpik Rio 2016.

"Setiap pemain mempunyai misi. Apabila gagal melepasi kempen kelayakan, saya berasakan sudah tiada guna lagi mewakili negara.

"Impian saya bermain di Olimpik, namun ia gagal. Saya harap Malaysia akan layak ke Tokyo 2020," katanya.

Azlan akan terus menyarung jersi Terengganu Hockey Team jika khidmatnya diperlukan musim depan.

Sekurang-kurangnya dia masih lagi terus bergelumang dengan sukan yang sudah jadi darah dagingnya sejak memegang kayu hoki secara serius di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, Perak.

Jika tidak lagi bermain?

"Saya akan menguruskan perniagaan insurans bersama isteri," katanya yang menyifatkan kejayaan layak ke final Sukan Asia 2010 sebagai kenangan terindah.

Terima kasih...terima kasih...Azlan Misron...