Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, yang ambil keputusan bersara ketika dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.

Apakah kerana banyak kejohanan ditangguhkan atau kerana gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020?

Ikuti penjelasan Amarina...

"Maaf Bazly kerana tidak menjawab panggilan dan whatsApp...berkenaan persaraan saya, ini bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat setelah hampir 16 tahun bersama pasukan kebangsaan.

"Ia adalah satu keadaan dan situasi yang sangat berat dan menyedihkan bagi mana-mana pemain yang akan melalui situasi dan perkara sebegini. Terlalu banyak kenangan pahit, manis, jatuh dan bangun bersama pasukan ini.

"Berkenaan isu persaraan, jika diikutkan saya berhasrat meninggalkan pasukan selepas tamat Kejohanan Final Hockey Series 2019 di Dublin, Ireland.

"Tetapi memandangkan sehingga hujung tahun 2019 pasukan tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa (kecuali Sukan SEA- hoki dalam dewan), saya menangguhkan dulu hasrat tersebut.

"Keputusan ini dibuat setelah merasakan saya sudah berada di penghujung karier peringkat antarabangsa. Untuk terus beraksi di peringkat antarabangsa bukan sesuatu perkara yang mudah.

"Seperti yang kita semua tahu, untuk terus beraksi dalam prestasi yang optimum diperingkat antarabangsa memerlukan tahap komitmen yang sangat tinggi dan akan melalui fasa latihan yang berintensiti tinggi.

"Saya merasakan tahap fizikal saya tidak mampu lagi terus berada ditahap terbaik berbanding rakan-rakan seperjuangan yang lebih muda. Selain itu, juga selepas persaraan ini, saya juga ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya masa depan pula.

"Setelah melalui perbincangan bersama pihak Konfederasi Hoki Malaysia dan menyatakan sebab-sebab munasabah, secara tidak langsung keputusan untuk bersara ini juga diterima baik oleh pihak persatuan.

"Saya sentiasa percaya dan yakin bahawa pasukan Malaysian Tigress akan terus mengejar impian pasukan untuk beraksi dalam Piala Dunia dan Sukan Olimpik serta memenangi pingat Sukan Asia."