Bermula dengan penampilan pertama pada 1998 bersama The Blues, ianya terus menyaksikan John Terry mendapat kepercayaan untuk mengemudi benteng pertahanan Chelsea.

713 penampilan sudah cukup untuk menobatkan beliau sebagai seorang legenda di Stamford Bridge dan kecemerlangannya turut melihatkan beliau menjadi salah seorang tonggak utama bagi pasukan England.

Sepanjang 22 tahun bersama Chelsea, John Terry telah memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali, Liga Europa, empat trofi Piala FA dan tiga kejuaraan Piala Liga serta telah menjaringkan 66 gol.

Biarpun pernah terpalit dengan kontroversi dan skandal di luar padang, namun jasa bakti aksi di atas padang menyaksikan dirinya masih mendapat sanjungan peminat sukan bola sepak.

Tetapi kini di bawah kendalian jurulatih dari Itali, Terry bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan faktor usia yang menjangkau 36 tahun di samping saingan hebat rakan sepasukan di barisan benteng pertahanan.

Di tambah pula Antonio Conte dilihat lebih gemar bermain menggunakan tiga pertahanan yang mementingkan kepantasan dan kelajuan di atas padang yang mana ciri-ciri tersebut bukanlah satu kelebihan buat Terry.

Bagaimanapun, Terry masih percaya akan kemampuan dirinya yang dirasakan masih lagi kompetitif untuk beraksi di peringkat tertinggi cuma peluang buatnya terhad jika terus kekal di kelab London itu.

Sehingga kini, Terry masih belum membuat keputusan pasukan mana yang akan diwakili apabila berakhirnya musim liga 2017 nanti.

Sejujurnya saya berasakan, Terry sepatutnya bersara dari arena bola sepak dan terus kekal sebagai legenda yang diingati bagi skuad The Blues kerana tiada apa lagi yang perlu dibuktikan di atas padang.

Tiada keperluan buat beliau untuk menyarung jersi kelab lain kerana itu hanya akan mencalar rekod bersih Terry bersama Chelsea yang sememangnya hebat.