"Wartawan tiada etika".

"Adakah patut tanya soalan seperti itu?"

"Tiada semangat kesukanan".


Itu antara tohmahan yang saya lalui selepas menemubual penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Ketika itu, dia terlepas peluang untuk layak ke final acara 3 meter papan anjal individu selepas melakukan kesilapan belly flop.

Tiga tahun kemudian, saya masih meneruskan tugas seperti biasa dan bertemu Amsyar di Majlis Sukan Negara (MSN) - dia baru menyerahkan surat menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Saya bertanya: "Ingat lagi tak apa yang berlaku di Rio?"

Dia tersenyum mengimbau kembali perasaan kecewa, marah, geram yang bercampur-baur.

"Itu pengalaman paling pahit sepanjang 15 tahun saya jadi atlet," kata Amsyar.

Saya bertanya lagi: "Ingat lagi tak interview lepas belly flop?".

"Ia temubual paling sukar. Saya masih ingat hingga hari ini, mungkin sampai penghujung nyawa".

"Saya akan bawa pengalaman itu untuk menempuh pengalaman baru. Terima kasih abang," tambahnya.

Pengalaman di Rio mengajar saya satu perkara penting. Teguhkan pendirian walaupun anda dikecam.

Apa yang penting, anda yakin bahawa apa yang anda lakukan itu betul, tidak menyalahi peraturan dan tugas sebagai wartawan sukan.

Amsyar akhirnya meninggalkan skuad kebangsaan. Perkara lain, dia sudah bersara.

"Saya akan fokus kepada pengajian di Universiti Malaya dan selepas itu saya akan mencari pekerjaan".

"Mungkin saya boleh menyertai bidang penyiaran macam abang," katanya.

Kami ketawa membayangkan Amsyar di depan televisyen. Tetapi, saya fikir dia ada pakej yang baik.

Terima kasih Amsyar kerana menjadi sebahagian daripada pengalaman saya sebagai wartawan sukan.

Moga anda kembali menabur bakti terhadap arena sukan negara dengan cara berbeza.

Selamat bersara!