“Terengganu pencabar JDT musim ini.” Itulah yang pernah dinyatakan oleh penulis dalam penulisan pada bulan Mac lalu di mana dalam penulisan itu penulis ada menyatakan apakah faktor-faktor yang menyebabkan Terengganu FC merupakan pencabar Johor Darul Ta’zim musim ini, salah satu sebabnya Terengganu mempunyai seorang jurulatih tempatan yang memempunyai karisma dan aura tersendiri selain bijak dalam membuat perancangan serta strategi untuk pasukannya supaya dapat memberi saingan dan membenam lawan mengikut kemampuan pemain-pemain yang dimilikinya.

Ini boleh dilihat melalui DNA dan falsafah bola sepak Terengganu yang diwujudkan Nafuzi Zain di mana Terengganu bermain secara ‘build up attack’ dan ‘high pressing’ sebagaimana di tuntut dalam bola sepak moden selain ‘high intensity’. Dengan DNA dan falsafah itu Terengganu mampu memberi saingan pada Johor DT semalam selain mengamalkan taktikal disiplin yang tinggi sewaktu bertahan atau menyerang. Mengekalkan ‘shape’ sepanjang permainan itu dan sentiasa berkomunikasi di antara satu sama lain, itu yang memberi kekuatan kepada Terengganu.

Walaupun corak permainan Terengganu di hujung-hujung perlawanan tidak digemari Benjamin Mora disebabkan Terengganu bermain secara bertahan tetapi itulah kebijaksanaan membaca permainan oleh pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, setelah Terengganu mendahului perlawanan, di mana Nafuzi bijak menggunakan situasi yang sesuai untuk menggekalkan jaringan dan hanya melakukan serangan balas. Sepatutnya Mora juga perlu bijak dalam merangka strategi ketika berhadapan dengan Terenggana kerana kedudukan Johor DT pada ketika ini berada di persada liga dan mendahului dengan jurang mata yang agak besar pada pasukan dibawahnya.

Mora perlu melihat situasi perlawanan sekiranya Terengganu bermain pantas dan boleh menyaingi tempo permainan Johor DT, Mora perlu mengarahkan anak-anak buahnya memperlahankan rentak permainan sedikit untuk mematikan tempo permainan Terengganu atau sebaliknya. Selain itu Terengganu bijak dalam membaca kelemahan lawan dimana pemain-pemain Terengganu menekan pertahan tengah Johor DT Adam Nor Azlin yang agak perlahan pergerakannya pada malam itu dan akhirnya Adam dan Syamer Kutty Abba melakukan kesilapan. Inilah yang dikatakan Terengganu mengajar Mora bagaimana mengambil kesempatan atas situasi perlawanan dan akhirnya mencipta kemenangan kerana di peringkat senior ini kemenangan itu yang diiktiraf dari bermain cantik.