Cameron Norrie dan Casper Ruud akan bertemu dalam final Kejohanan Tenis Terbuka San Diego selepas pemain pilihan utama, Andrey Rublev, dan Grigor Dimitrov tersingkir.

Terdapat kejutan berlaku dalam kejohanan ATP 250 berkenaan apabila bintang Russia, Rublev, tewas 6-3, 3-6, 4-6 kepada Norrie di San Diego hari ini.

Ini merupakan kali ketiga Norrie menewaskan pemain dalam kelompok ranking 10 teratas dunia dan dia kini akan memburu gelaran Jelajah ATP keduanya dalam final esok.

"Amat baik dapat membalas dendam, dia menewaskan saya dengan mudah sebelum ini, jadi amat baik untuk mengetahui bahawa saya sudah meningkat," kata Norrie, yang tewas kepada Rublev di St. Petersburg tahun lalu.

Menanti Norrie adalam final adalah pilihan kedua kejohanan, Ruud, yang menumbangkan bekas pemain nombor tiga dunia, Dimitrov, 6-4, 4-6, 6-4.

Pemain Norway itu -- yang menduduki ranking ke-10 dunia -- berpeluang untuk meraih gelaran kelimanya musim ini, di mana ia merupakan rekod terbanyak yang dicapai mana-mana pemain dalam sirkit ATP berkenaan.

Menjelang final esok, pemain berusia 26 tahun itu berkata: "Saya akan mencuba menikmati kejayaan hari ini dan kemudian, saya akan mencuba untuk berehat dan bersedia untuk final.

"Saya dapat melihat permainan mereka beberapa minggu ini dan mereka telah bermain pada tahap terbaik.

"Saya tidak sabar untuk melaluinya esok," katanya.