Alexander Zverev menamatkan penantian tiga tahun untuk merangkul gelaran ATP Masters 1000 selepas bangkit untuk mengatasi Matteo Berrettini dalam final Terbuka Madrid, semalam.

Wakil Jerman itu terpaksa melalui jalan sukar di La Caja Magica sepanjang minggu lalu, selepas berjaya mengatasi pemenang lima kali, Rafael Nadal dan Dominic Thiem dalam perjalanan ke final.

Dia telah mengheret perlawanan set pertama bertemu wakil Itali itu hingga ke tie-break, namun usahanya yang bangkit daripada ketinggalan 5-0 dan meraih mata set dibazirkan begitu sahaja.

Berrettini berjaya menang set pertama namun Zverev mempamerkan permainan yang berbeza dalam set kedua, menggunakan setiap kesilapan lawan sebelum menang 6-4 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Stamina yang lebih baik dimiliki Zverev menjadi kelebihannya apabila berjaya memastikan kemenangan 6-3 sekaligus merangkul kejuaraan kejohanan tersebut buat kali kedua.