Bertubuh sasa tetapi atletik, dia adalah produk ekosistem yang mengutamakan sukan. Hampir dua dekad jantungnya berdegup dalam mengharungi rentak kehidupan, anak muda ini menjalani satu metamorfosis - bermula dengan golf, renang dan ragbi sebelum namanya dikenali menerusi acara lempar cakera.

Daripada atlet balapan paling muda untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Myanmar 2013, Muhammad Irfan Shamshuddin kini atlet bertaraf Asia, hasil catatan 62.55 meter yang dilakukan di Linz, Austria, Mei lalu. Jarak itu menjadikan Irfan atlet pertama dari Asia Tenggara melepasi tembok 60 meter.

Di Myanmar, Irfan tampil sebagai atlet paling muda memenangi emas acara balapan pada usia 18 tahun, 121 hari, Irfan melontar sejauh 53.16m untuk membawa pulang pingat emas.
Di Singapura, Irfan memburu jarak sasaran 59.50m yang juga rekod Sukan SEA milik James Wong yang dicipta ketika anak jati Negeri Sembilan ini baru berusia empat tahun. Sekalipun emas berjaya dipertahankan, catatannya 56.65m, hampir tiga meter tersasar daripada rekod itu.

Namun tiada siapa dapat menafikan hak Irfan sebagai atlet pertama meraih emas sejak Danapal Naidu menaiki podium tertinggi tiga kali berturut-turut pada 1961, 1965 dan 1967 ketika temasya dwitahunan itu dikenali dengan nama asalnya Sukan SEAP.
Dua tahun selepas edisi di Singapura, Irfan dihidangkan peluang beraksi di laman sendiri di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Irfan dan jurulatihnya, Frantisek Petrovic, kelihatan cukup optimis peserta lain sekadar bersaing untuk perak dan gangsa.

Aktif mengemas kini angkatan beban dan suaian fizikal menerusi laman sosial, Irfan adalah lambang atlet hari ini yang tidak segan silu menayangkan kebolehan untuk dikongsi umum.

Meninjau latar belakangnya, Irfan membesar dalam keluarga yang mengutamakan sukan. Ini membuka pintu yang luas untuk Irfan bergiat dalam olahraga, bola tampar, bola baling dan hoki.

Dalam olahraga, dia memperagakan bakat dalam acara trek dan padang.

“Saya lari pecut, lompat tinggi dan lontar peluru. Biasalah, kalau ada sedikit bakat dalam satu acara, cikgu akan minta murid cuba disiplin lain. Kebetulan pencapaian saya boleh dianggap lebih baik daripada sederhana,” kata Irfan.

Ditawarkan tempat di SMK Za’ba yang juga sekolah sukan negeri untuk Negeri Sembilan, Irfan menyerlah dalam persekitaran yang membudayakan sukan.

Berjinak-jinak dengan dua acara sekali gus, lempar cakera dan ragbi, Irfan didedahkan kepada corak latihan multi-lateral atau pelbagai hala secara tidak formal.

“Dilatih dan bergiat dalam banyak acara mengajar saya dan tubuh saya untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan. Catatan peribadi terbaik saya menerusi catatan tangan dalam 100m ialah 11.6 saat dan saya jadi pelari kedua dalam 4x100m lari berganti-ganti.

“Saya lepasi ketinggian 1.55m dalam lompat tinggi. Dengan saiz tubuh saya, saya juga ambil bahagian dalam lontar peluru dan akhirnya lempar cakera.”

Ditanya kenapa tidak mengikuti jejak langkah juara Sukan SEA 2001 dan 2003, Muhammad Malik Ahmad Tobias yang muncul sebagai pemegang rekod kebangsaan dalam dekatlon, Irfan menjawab: “Bukan mudah menguasai 10 disiplin.”

Di SMK Za’ba, Irfan memilih olahraga sebagai sukan teras pilihannya, selain ragbi yang menjadi disiplin pilihan.

“Saya sebenarnya terpengaruh dengan abang saya yang bermain ragbi. Saya mula pun dengan suka-suka tetapi akhirnya jatuh hati kepada sukan yang menggabungkan kepantasan, kuasa, tenaga dan semangat kesukanan yang tinggi.”

Penampilan Irfan dalam dua sukan itu mencetus dilema.

Mencecah usia 14 tahun, Irfan ditawarkan tempat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) atas kecemerlangan dalam olahraga.

Pada masa yang sama sepucuk surat dikirim ke kediamannya untuk menyertai program ragbi di Sekolah Sukan Bandar Penawar yang kini secara rasmi dikenali sebagai Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

“Nasihat ayah supaya memberi tumpuan kepada sukan individu,” kata Irfan yang pernah mendapat asuhan bekas pemenang Sukan SEA acara tukul besi, Siti Shahidah Abdullah.

Namun secara sembunyi Irfan menjalani latihan bersama Cobra setiap hujung minggu. Bahkan dia mencuri-curi menyarung jersi tujuh sepasukan Negeri Sembilan yang muncul juara Plate pada Sukma 2011.

“Akhirnya saya terpaksa melupakan sukan ragbi apabila berikrar depan pengurusan SSBJ untuk menumpu perhatian kepada lempar cakera.”

Mengikuti pengajian Sains Sukan di Unversiti Malaya (UM), Irfan mahu menggenggam segulung ijazah sambil terus mendaki puncak kecemerlangan dalam acara lempar cakera.

Puncak itu semakin terbayang apabila Irfan memecahkan rekod kebangsaannya sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari Mei lalu.

Kembaranya ke Eropah diiringi catatan 61.10m di Halle, Jerman, disusuli lontaran 61.56m di Turnov, Republik Czech dan 62.55m di Linz, Austria.

Rekod Wong harus tumbang pada final acara lempar cakera di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 22 Ogos nanti.