Suara pengulas Astro Arena, Shaukei Kahar masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Abdul Latif Romly betul-betul ‘terbang’ dan memenangi pingat emas paralimpik 2016 di Brazil.

3 rekod dunia dipecah oleh atlet lompat jauh berusia 20 tahun dari Perlis itu mencuri tumpuan komuniti sukan antarabangsa.

Lompatan 7.60 meter itu telah menukar kehidupan dan karier sukan Latif dalam sekelip mata.

Selain diberi penghargaaan oleh kerajaan Malaysia dengan hadiah kemenangan pingat emas sukan Olimpik sebanyak RM1 juta seperti atlet normal dan disenaraikan dalam program elit Podium, pengiktirafan tidak putus-putus diterima oleh pemenang pingat emas SUKMA 2016, Sarawak yang menyaksikan Latif menewaskan atlet normal yang lain.

Baru-baru ini sejarah tercipta dalam Anugerah Sukan Negara apabila buat kali pertama atlet paralimpik disenaraikan dalam kategori Olahragawan Kebangsaan.

Lebih manis lagi bukan sahaja Latif disenaraikan tetapi dinobatkan sebagai pemenang menewaskan calon-calon popular seperti pemain badminton nombor satu dunia dan pemenang pingat perak Olimpik perseorangan lelaki badminton di Brazil serta juara dunia keirin yang juga merangkul pingat gangsa Olimpik 2016, Azizulhasni Awang.

Penyenaraian dan kemenangan Latif, seorang atlet para dalam acara lompat jauh kategori T20 membawa mesej penting kepada Malaysia bahawa atlet para ‘Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan atlet normal.